Ad

Sunday, 31 May 2015

Dollah janji beri ruang sama rata

 Oleh Mohd Firdaus Hashim=firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biarpun jumlah pemain yang dipanggil bagi menjalani latihan pusat dianggap ramai dengan 31 pemain kini berada di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya, pengendali pasukan Dollah Salleh berjanji akan memberi ruang seadilnya kepada pemain untuk menunjukkan kemampuan masing-masing.

Dengan aksi terdekat bertemu Hong Kong di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, Dollah mahu aksi persahabatan antarabangsa itu diguna sebaik mungkin bagi mencuri perhatiannya sebelum senarai akhir 23 pemain diumum untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

“Selepas berakhirnya perlawanan berdepan Tottenham Hotspur, semangat pemain begitu baik dan tinggi, sebab itu saya membuat keputusan mengekalkan semua pemain bagi latihan pusat fasa kedua.

“Walaupun cuma 23 pemain akan dikekalkan selepas aksi dengan Hong Kong, saya melihat mereka bersaing secara sihat untuk merebut tempat dan ia sikap yang amat positif.

“Namun saya akan beri peluang semua pemain dan akan memilih yang benar-benar layak untuk disenaraikan kali ini,” katanya yang memburu kemenangan ketika berdepan Hong Kong bagi menaikkan semula ranking Malaysia yang berada pada kedudukan ke-166 dunia dikeluarkan FIFA.

Berdasarkan jadual kelayakan Piala Dunia itu, Malaysia bakal menentang Timor Leste pada 11 Jun ini, sebelum berdepan Palestin, lima hari kemudian dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, bagi kapten pasukan Perak Mohd Nasir Basharuddin yang mendapat pujian ‘melangit’ Dollah susulan aksi bertenaganya ketika bertemu Spurs tempoh hari, dia bertekad merebut tempat biarpun mengakui bukan mudah merampas posisi yang sudah sinonim dengan kapten Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Safiq Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 7:12 AM
 
Dollah (dua dari kanan) ketika sesi latihan di Wisma FAM.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/54767#sthash.cEdyhZC4.dpuf

No comments:

Post a Comment