-MOHD. HAFIZ. ABD. MUTALIB | 17
Mei 2015 12:26 AM
Pemain dan pegawai pasukan Kelantan meraikan kemenangan 3-1
PEMAIN dan pegawai pasukan
Kelantan meraikan kemenangan 3-1 mereka ke atas Pahang dalam perlawanan separuh
akhir kedua Piala FA di Kota Bharu semalam untuk mara ke perlawanan akhir
dengan agregat 3-2. mingguan/Rosni Masri
KOTA BHARU - Pemain gantian
Austin Amutu menjadi wira apabila menjaringkan dua gol untuk menyempurnakan
kebangkitan dramatik Kelantan pada minit-minit akhir perlawanan untuk
memastikan The Red Warriors melangkah ke perlawanan akhir Piala FA dengan
agregat 4-3 selepas menumpaskan juara bertahan Pahang 3-1 di Stadium Sultan
Muhammad IV semalam.
Kemenangan ke atas Pahang, yang
menamatkan permainan dengan 10 pemain, menyaksikan The Red Warriors mara ke
pentas akhir buat kali kelima dalam tempoh tujuh tahun sejak 2009.
Di saat Kelantan hampir tersingkir,
pemain dari Nigeria, Amutu menggamatkan stadium apabila menjaringkan gol
berharga pada masa kecederaan.
Turun dengan misi memburu
jaringan awal, pemain sayap Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria meletakkan Kelantan
di hadapan pada minit ke-17 selepas tenang menampan bola umpanan Wan Zack
Haikal Wan Noor seterusnya menewaskan Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid di
gawang gol Pahang.
Lapan minit kemudian Pahang,
yang menang 1-0 dalam separuh akhir pertama di Kuantan, hampir menyamakan
kedudukan namun tandukan Matias Conti sedikit tersasar biarpun pengaja gol tuan
rumah Khairul Fahmi Che Mat sudahpun tertewas.
Pahang dirundung malang pada
minit ke-33 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Azammuddin Akil
dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Suhaizi Shukri selepas menyiku
Wan Zack Haikal.
Tonggak pertahanan Kelantan,
Norhafiz Zamani Misbah hampir menambah jaringan pada minit ke-35 namun
rembatannya berjaya ditepis keluar oleh Khairul Azhan menyaksikan kedudukan itu
kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Pahang
akhirnya memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-57 menerusi pemain sayap
lincahnya R. Gopinathan yang menerima umpanan Dickson Nwakaeme selepas serangan
balas pantas untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.
Selepas itu, The Red Warriors
cuba bangkit menerusi serangan bertali arus ke kubu Pahang namun gagal menemui
penyudah biarpun memiliki deretan peluang.
Pemain gantian, Amutu kemudian
menjadikan agregat 2-2 apabila meledakkan gol kedua Kelantan pada minit ke-75
sebelum dia memusnahkan harapan anak-anak buah Zainal Abidin Hassan apabila
menjaringkan gol kemenangan The Red Warriors pada masa tambahan.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kelantan-ke-i-final-i-piala-fa-1.92697#sthash.ToKLseXw.dpuf
No comments:
Post a Comment