Ad

Sunday 31 May 2015

Tunggu jawapan AFC

Daripada Aziman Rosdi di Singapura
 aziman@hmetro.com.my
Jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee mahu menunggu keputusan Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung hukuman bakal dikenakan terhadap Muhammad Nazmi Faiz Mansor sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk menghantar pemain kontroversi itu pulang awal.

Menurut pengendali itu, beliau tidak boleh menerima kelakuan Nazmi itu yang bukan saja menyusahkan pasukan malah dianggap memalukan.

“Mungkin esok (hari ini) atau lusa keputusan akan dibuat Jawatankuasa Disiplin mengenai hukuman ke atas Nazmi. Ia amat memalukan, walaupun (ludah) tidak kena pemain namun niat itu saja sudah tidak bagus.

“Saya akan tunggu keputusan hukuman penggantungan sebelum membuat sebarang tindakan termasuk mencadangkan kepada pihak pasukan agar dia turut didenda,” kata Kim Swee ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Stadium Bukit Gombak semalam.

Nazmi dilayangkan kad merah pada minit ke-31 oleh pengadil Singapura Foo Chuan Hui selepas pengadil keempat dari Kuwait Yousef Almarzouq mengesan pemain berusia 21 tahun itu meludah pemain pertahanan Timor Leste Filipe Oliveira pada perlawanan pertama Kumpulan B di Stadium Bishan.

Ketiadaannya menyebabkan skuad negara terpaksa mempertahankan jaringan D Saarvindran pada minit ke-11 sehingga tamat permainan untuk kemenangan tipis 1-0.

Ini bukan kali pertama Nazmi dibuang padang kerana pada aksi persahabatan menentang Qatar, dia dilayangkan kad merah kerana menumbuk pemain lawan.

Kim Swee mengakui Nazmi tonggak pasukannya namun menegaskan tidak mahu membuat rayuan terhadap hukuman yang diputuskan nanti.

“Apa yang dilakukannya tak perlu dirayu. Memang Nazmi penting dalam pasukan, anda boleh lihat sebelum keluar, dia bergandingan baik bersama Gary (Steven Robbat) di bahagian tengah.

“Saya sudah memberikan peringatan bukan saja kepada Nazmi malah pemain lain bahawa saya tidak mahu perkara seperti ini berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 7:31 AM
KIM Swee (tengah) kesal sikap Nazmi.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/54781#sthash.Y5y9Eqjz.dpuf

No comments:

Post a Comment