KHAMIS, 14 MEI 2015 @ 6:01 PM Oleh Khairil S Iswan mkhairil@ bh.com.my PETALING JAYA: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan berkuat kuasa, hari ini menggantikan Datuk Sudarsono Osman yang meletakkan jawatan, baru-baru ini.
SETIAUSAHA Agung FAM, Hamidin. - Foto Osman Adnan Perkembangan terbaharu itu diputuskan dan diumumkan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Mesyuarat Exco badan induk itu, hari ini. Datuk Sudarsono yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) meletakkan jawatannya awal bulan lalu atas alasan ingin fokus terhadap tugasnya di FAS. Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata Hamidin akan menguruskan pasukan itu sehingga seorang bekas pemain kebangsaan dilantik ke jawatan itu.
"Seorang anggota exco benar-benar sesuai memegang jawatan itu...itu amalan tetapi tiada anggota exco tampil apabila ditawarkan. Saya cuba nak buat pembaharuan dengan dapatkan seorang bekas pemain kebangsaan untuk posisi itu pada masa hadapan. "Datuk Hamidin akan menamakan bekas pemain kebangsaan itu...ketika ini belum ada nama," katanya pada sidang media di Wisma FAM, dekat sini, hari ini. Beliau berkata persatuan itu juga akan mempertimbangkan untuk menjadikan ketua jurulatih sebagai pengurus pasukan pada masa akan datang. Hamidin akur tugas berat Sementara itu, Hamidin menyifatkan ia satu tanggungjawab dan tugas yang berat terutama mengembalikan kepercayaan peminat kepada skuad kebangsaan terutama memperbaiki kedudukan ranking yang merudum. "Ini tugas berat kerana peminat kita mahukan kejayaan.
Saya akan lakukan terbaik. Jika bukan sebagai pengurus pun, saya sudah memasang tekad kita perlu layak ke pusingan akhir Piala Asia di UAE pada 2019. "Bagi saya ia tidak mustahil. Namun kita kena kerja kuat bukan saya saja namun semua termasuk jurulatih dan pemain. "Ini adalah amanah dan saya berjanji akan kerja kuat terutama untuk tarik balik penyokong Malaysia," katanya. Untuk kelayakan Piala Dunia 2018 Russia (peringkat Asia) dan Piala Asia 2019 UAE, yang diadakan secara serentak, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama UAE, Arab Saudi, Palestin dan Timor Leste, di mana setiap pasukan akan beraksi sebanyak lapan kali, empat di tempat sendiri dan empat di tempat lawan. Malaysia ketika ini menghuni ranking ke166 dunia - yang terburuk sejak sistem ranking diperkenalkan - dan Hamidin tidak mahu ia turun lagi sambil menjelaskan pihaknya akan lebih teliti terutama dalam pemilihan pasukan bagi aksi antarabangsa. "Untuk itu, saya akan adalah mesyuarat setiap minggu bersama pasukan kebangsaan sebagai langkah memastikan memilih barisan yang sesuai bagi melonjak kembali ranking negara," katanya. Mengulas mengenai pembantunya, Hamidin berkata dia akan melantik dua penolong pengurus yang ditugaskan menjaga kebajikan dan teknikal. Katanya, bekas pemain bola sepak kebangsaan antara kriteria yang diperlukan bagi menjawat jawatan terbabit. Hamidin sebelum ini turut memiliki pengalaman selaku pengurus dan pernah menjadi pengurus pasukan bola sepak Malaysia di Sukan SEA Jakarta 2009 dan Pengurus pasukan futsal kebangsaan.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/54803
No comments:
Post a Comment