SUFIAN HADI MOHD. SOJAK | 11
Mei 2015 3:17 AM
GOH LIU YING (kanan) dan Chan
Peng Soon memastikan mata kemenangan Malaysia ketika melakar kejutan ke atas
Korea Selatan, semalam.
KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong
Wei membuat kepulangan sempurna selepas bebas daripada penggantungan apabila
mencatat kemenangan dan membantu Malaysia mengejutkan juara tiga kali, Korea
Selatan 3-2 dalam aksi pembukaan kejohanan badminton Piala Sudirman di
Dongguan, China, semalam.
Chong Wei, yang menjadi tumpuan
utama kejohanan sejak dibebaskan daripada penggantungan lapan bulan tidak
menghadapi masalah untuk menumpaskan pemain Korea, Lee Dong Keun 21-12, 21-10
dalam tempoh 45 minit untuk menghadiahkan mata kedua Malaysia.
Terdahulu, pasangan muda
negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberikan mata pertama pasukan negara selepas
melakar kejutan besar ke atas beregu No. 1 dunia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong
20-22, 21-14, 27-25 dalam pertarungan lebih sejam untuk kedudukan 1-0.
Korea bagaimanapun menyamakan
kedudukan 1-1 selepas pemain muda negara, Lim Yin Fun kalah mudah 9-21, 7-21 kepada
pemain No. 7 dunia, Sung Ji Hyun.
Selepas Chong Wei menjadikan
kedudukan 2-1, Korea kembali mengikat kedudukan 2-2 setelah beregu wanita,
Vivian Kah Mun Hoo-Woon Khe Wei tewas di tangan pasangan ranking ke-75, Chang
Ye Na-Jung Kyung Eun 20-22, 9-21.
Kedudukan genting, beregu
campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying muncul wira apabila mengesahkan mata
kemenangan Malaysia dengan mengejutkan pasangan No. 8 dunia, Kim Ha Na-Ko Sung
Hyun 21-23, 13-21.
“Saya sangat gembira dengan
kemenangan ini sebab selepas tujuh bulan tidak bermain, mood pertandingan masih
lagi ada.
“Harap, esok (hari ini) saya
dapat bermain dengan lebih baik lagi ketika menentang India.
“Saya juga gembira dapat
menyumbang mata untuk Malaysia walaupun bukan mata pertama. Wee Kiong dan V Shem
juga bermain dengan cemerlang hari ini dan saya percaya mereka boleh meneruskan
momentum esok.
“Ini merupakan cara berpasukan.
Jadi, semangat berpasukan itu penting. Sekarang, saya hanya mahu fikirkan
tentang Piala Sudirman dan fokus satu-satu perlawanan,” katanya.
Malaysia akan mengesahkan tiket
ke suku akhir andai mengalahkan India dalam satu lagi perlawanan Kumpulan 1D
hari ini.
Sementara itu, pilihan utama,
China memulakan kempen dengan bergaya apabila membelasah Jerman 5-0, manakala
Jepun menundukkan Rusia 4-1 dan Denmark menang 4-1 ke atas England.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/kepulangan-paling-sempurna-1.90550#sthash.MQ6BjfYq.dpuf
No comments:
Post a Comment