Ad

Saturday 2 May 2015

Liga Super: ATM, Perak buat PDRM, Selangor gigit jari

SABTU, 2 MEI 2015 @ 11:33 PM

Oleh Wan Fakhrul Bakar; Mohd Amin Jalil Dan Asrol Awang bhonline@bh.com.my KUALA LUMPUR: Dua pasukan tangga teratas Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Selangor mengalami nasib sama selepas masing-masing tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perak pada perlawanan ke-10, malam ini.

      Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pendahulu liga PDRM mengalami kekalahan keempat musim ini selepas tewas 3-1 kepada ATM. Pasukan pelawat kendalian Azman Adnan itu garang di hadapan seawal minit ke-12 menerusi jaringan Afif Amiruddin tetapi ATM di bawah pengendali sementara, Shahrin Majid bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Venice Elphy Dannykaya pada minit ke-44. Babak kedua, ATM terus bangkit menambah dua lagi gol menerusi jaringan pemain veteran, Hairuddin Omar pada minit ke-56 dan 60 untuk kemenangan kedua pasukan kedua tercorot liga itu.

      Di Stadium Shah Alam, Selangor mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila tewas 2-1 kepada Perak biarpun mendahului menerusi tandukan Guilherme De Paula pada minit ke-18. Perak menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Nam Kung Woong pada masa kecederaan babak pertama selepas dia sendiri dijatuhkan Leandro dos Santos dan pelawat berjaya menambah gol kedua hasil sepakan percuma cantik Nurridzuan Abu Hassan menewaskan Hamsani Ahmad minit ke-61. Biarpun Perak kendalian Datuk M Karathu kehilangan seorang pemain selepas Nurridzuan dilayangkan kad merah pada minit ke-85, anak buah Mehmet Durakovic gagal mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat. Selepas 10 perlawanan,

      PDRM bagaimanapun kekal di tangga teratas dengan 18 mata diikuti Selangor dan Perak yang kini berkongsi 17 mata tetapi Perak kurang satu perlawanan. FELDA United yang turun ke tangga keempat dengan 17 mata bagaimanapun berpeluang merampas kedudukan tangga teratas liga daripada PDRM andai mereka berjaya menewaskan pasukan tangga keenam, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin, malam esok.

       Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, tuan rumah Pahang naik ke tangga kelima untuk berkongsi 17 mata dengan Selangor, Perak dan FELDA United selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Terengganu. Terengganu di hadapan menerusi sepakan penalti Paulo Rangel pada minit ke-21, sebaliknya Pahang menamatkan babak pertama dengan mendahului 2-1 selepas membalas menerusi dua gol Zesh Rehman pada minit ke-26 dan 45. Pahang terus selesa apabila menambah gol ketiga menerusi Matias Conti pada minit ke-56 sebelum Terengganu merapatkan kedudukan 3-2 sekali lagi menerusi sepakan penalti Rangel, minit ke-79.

      Di Stadium Selayang, hasrat pasukan tangga tercorot, Sime Darby untuk meraih kemenangan sulung musim ini masih tidak kesampaian apabila tewas 2-1 kepada Lions XII. Biarpun skuad bimbingan Ismail Zakaria itu mendahului menerusi jaringan Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-23, Lions XII kendalian Fandi Ahmad bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Firdaus Kasman pada minit ke-56 dan Gabriel Quak minit ke-66. Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak berjaya memanfaatkan kelebihan aksi di laman sendiri untuk menundukkan Kelantan 3-2. Gol-gol Sarawak dijaringkan Ryan Griffiths pada minit ke-11, Billy Mehmet (36) dan Joseph Kalang Tie (67) manakala dua gol Kelantan disumbang Erwin Carrillo pada minit ke-16 dan Wan Zaharulnizam Zakaria (84).


SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/52402

No comments:

Post a Comment