24 Mei 2015
sukan sea
KONTINJEN Malaysia ke Sukan Sea di Singapura Jun ini
menetapkan sasaran memperoleh 56 peratus pingat sebarang warna daripada 35
acara yang disertai atlet negara.
Menteri Belia dan Sukan Khairy
Jamaluddin berkata melalui sasaran itu, ia memberi gambaran lebih menyeluruh
mengenai pembangunan sukan negara khususnya dalam kalangan atlet pelapis yang
menyertai temasya dwitahunan itu.
"Kita jadikan Sukan Sea
ini sebagai sukan pembangunan sebab hampir 50 peratus atau 310 atlet kontinjen
negara terdiri daripada atlet pelapis bawah 21 tahun.
"Atlet di bawah 21 tahun
ini, kalau dapat pingat perak atau gangsa sudah merupakan pencapaian yang
membanggakan. Takkan kita hendak terlampau obses terhadap pingat emas sampai
kita lupa pingat lain sedangkan ini adalah temasya pembangunan dan pendedahan kepada
atlet muda," katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke
Sukan Sea di Singapura dari 5 hingga 16 Jun ini.
Khairy berkata, beliau juga
tidak menghalang mana-mana persatuan sukan untuk menetapkan sasaran pingat emas
mereka sendiri berdasarkan kepada prestasi atlet berkenaan, namun diharap ia
tidak mengabaikan pencapaian atlet lain khususnya atlet remaja.
Dalam pada itu, beliau berkata
agak sukar untuk menetapkan sasaran pingat emas untuk temasya Sukan Sea kerana
jenis sukan dalam temasya itu sentiasa berubah-ubah mengikut negara penganjur
berbanding Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik yang tidak banyak berubah dalam
jenis acara.
"Sukan Sea ini sukan
berubah-ubah. Kita tidak ada satu sasaran yang konsisten. Seperti di Myanmar,
kontinjen kita menang banyak emas menerusi acara karate tapi kali ini acara itu
digugurkan. Begitu juga boling padang dan lumba basikal trek dan beberapa acara
yang kita pernah menang emas, tapi digugurkan (di Singapura)," katanya.
Sementara itu, Khairy turut
menjelaskan walaupun tidak ada sasaran pingat emas ditetapkan pada temasya kali
ini, namun pemberian Skim Hadiah Kemenangan Atlet (Shakam) tetap akan diberikan
kepada atlet yang meraih pingat emas.
Selain insentif kemenangan itu,
beliau berkata pingat emas juga menjadi kayu ukur pertama kepada atlet yang
berjaya untuk diserapkan ke Program Podium yang menawarkan pakej latihan lebih
baik dari segi sara hidup, jurulatih serta sokongan pakar sains sukan yang
komprehensif.
"Pingat emas bukan syarat
tunggal ke Program Podium tapi ia antara syarat menuju ke situ. Program ini
akan mengutamakan pemenang emas yang menunjukkan potensi untuk menang pingat
emas Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik," kata Khariry.
Dalam perkembangan lain, beliau
memuji skuad Lions XII yang berjaya membawa pulang Piala FA, yang buat kali
pertamanya keluar dari Malaysia, selepas menewaskan pasukan Kelantan 3-1 pada
perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Katanya kemenangan itu boleh
menjadi petanda agar Malaysia memberi lebih fokus kepada pembangunan pemain
muda yang betul-betul setanding negara
lain.
"Mereka bermain tanpa
pemain import dan pemainnya masih muda yang kebanyakan di bawah 24 tahun.
Memang kita tidak boleh buat kesimpulan terhadap bola sepak kita, sebab ia
berlawan dengan satu pasukan sahaja iaitu Kelantan.
"Tapi di sini kita dapat
lihat Singapura mampu membangun bakat muda mereka," katanya. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment