MUHAMMAD DAYNE AZMIN DAN ZAZALI
JAMIAN |
31 Mei 2015 12:16 AM
Pemain Malaysia, Mohd. Syafiq
Ahmad (tengah) cuba merebut bola
Pemain Malaysia, Mohd. Syafiq
Ahmad (tengah) cuba merebut bola dari kawalan pemain Timor Leste, Rosa Ribeiro
Paulo Helber dalam perlawanan Kumpulan B, Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan,
Singapura semalam. MINGGUAN/Abdul Razak Latif
SINGAPURA - Perlawanan yang
sepatutnya mudah dihadapi skuad Bawah 23 negara hampir menjadi mimpi ngeri
apabila bermain dengan sepuluh orang hampir 60 minit ketika menang 1-0 ke atas
Timor Leste dalam saingan sulung Kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan
semalam.
Garang sepanjang setengah jam
permainan, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee dikejutkan dengan pemberian kad
merah kepada tonggak tengah Mohd. Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-32 yang
didakwa menumbuk dan cuba meludah Filipe Oliveira.
Walaupun pada awalnya pengadil
Foo Chuan Hui dari Singapura tidak memberikan sebarang hukuman kepada Nazmi,
namun mengubah tindakannya setelah dimaklumkan oleh pegawai keempat perlawanan
Yousef Al-Marzouq yang mengesan insiden itu.
Ketiadaan Nazmi jelas
mengganggu mental rakan-rakannya yang sebelum itu memecah kebuntuan pada pada
minit ke-11 menerusi percubaan jarak dekat D. Saarvindran.
Nazmi akan digantung dua
perlawanan dan tidak akan beraksi dalam perlawanan penting, berdepan Vietnam
dan Thailand selepas ini.
Jaringan tunggal negara
tercipta hasil kerja keras Muhd. Nurridzuan Abu Hassan yang membawa bola dari
sebelah kiri dan Mohd. Syafiq Ahmad berjaya mengumpan kepada Saarvindran yang
melakukan sepakan leret menewaskan penjaga gol Ramos Maxanches.
Pada minit ke-15, Syafiq
sepatutnya boleh menggandakan kelebihan skuad negara ekoran kecuaian pertahanan
Timor Leste namun percubaan penyerang Kedah itu ditepis biarpun hanya berdepan
penjaga gol.
Ketandusan jaringan memaksa Kim
Swee melakukan rombakan, memasukkan S. Kumaahran dan Nazirul Naim Che Hashim 10
minit selepas babak kedua bermula.
Bagaimanapun, situasi itu tidak
merubah corak permainan skuad negara yang kelihatan hilang punca pada
penghujung permainan.
Malah, skuad negara bernasib
baik apabila penjaga gol Mohd. Farhan Abu Bakar menyelamatkan dua percubaan
berbahaya melalui sepakan jarak jauh.
“Saya percaya kita boleh
bermain dengan baik jika beraksi dengan 11 pemain.
“Jika insiden melibatkan Nazmi
Faiz berlaku seperti didakwa, sudah tentu saya amat kecewa. Buat masa ini saya
masih belum melihat rakaman insiden tersebut.
“Jika dia boleh dikenakan
penggantungan tambahan, saya akan arahkan dia balik kerana tiada sesiapa pemain
bintang di dalam pasukan ini.
“(Namun) bagi saya kemenangan
ini amat penting kepada pasukan biarpun menang tipis,” kata Kim Swee.
Sementara itu, jurulatih Timor
Leste, Fabio Da Silva tetap berpuas hati dengan komitmen barisan pemainnya
meskipun tewas kepada Malaysia.
“Walaupun kalah tetapi saya
puas hati dengan komitmen pemain saya.
“Saya juga amat kecewa dengan
insiden meludah dalam perlawanan ini kerana dalam bola sepak pemain tidak
sepatutnya berkelakuan sedemikian,” katanya. – MINGGUAN
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/skuad-kim-swee-menang-dalam-gundah-1.97416#sthash.peRfsx7C.dpuf
No comments:
Post a Comment