25 Mei 2015 1:36 AM
PADANG BESAR 24 Mei – Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan
penguatkuasaan yang longgar di kawasan Gunung Perlis di Wang Kelian di sini,
kira-kira dua kilometer dari Thailand, sehingga menjadi bukan sahaja laluan pencerobohan
pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi juga penempatan mereka sejak sekian
lama.
Gunung Perlis yang mengambil
masa sejam setengah perjalanan mendaki dari kaki gunung tersebut di hutan
simpan Taman Negeri di sini, turut berkongsi puncak dengan negara jiran itu di
sebelah kanan.
Shahidan yang meluangkan masa
selama setengah jam untuk meninjau kawasan kaki bukit di situ ternyata berang
kerana penguatkuasaan yang lemah sehingga gagal mengesan penempatan PATI di
kawasan tersebut.
“Seharusnya penguat kuasa
seperti renjer meninjau kawasan itu sekurang-kurangnya sebulan sekali, namun
apa yang berlaku ia menjadi penempatan PATI sejak sekian lama.
“Di situ juga saya dimaklumkan
oleh pihak berkuasa bahawa kita menemukan kubur-kubur besar mengandungi lebih 100
mayat warga asing. Mayat-mayat dicampak begitu sahaja (dalam lubang),” katanya
di sini, hari ini.
Shahidan seterusnya percaya
kegiatan itu turut melibatkan
rakyat tempatan dan kemungkinan juga membabitkan pihak
penguat kuasa, sekali gus menggesa golongan tersebut diambil tindakan sekiranya
terbukti bersalah.
“Saya kesal kerana ini
merupakan satu bentuk kezaliman manusia dan malangnya berlaku di negeri ini.
Mereka meninggalkan kesan buruk yang cukup dalam kepada Perlis,” katanya yang
enggan mendedahkan lokasi penemuan penempatan dan kubur lain.
Menurut beliau, maklumat lanjut
berhubung penemuan kubur berkenaan akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara,
Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan melawat kawasan tersebut esok.
Katanya, beliau akan membuat
laporan polis berhubung penguatkuasaan yang lemah di kawasan itu bagi mengelak
perkara berkenaan berulang.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/shahidan-berang-ketika-lawat-lokasi-kubur-warga-asing-1.95554#sthash.VVpE3tVW.dpuf
No comments:
Post a Comment