Ad

Monday 25 April 2016

Apa nasib Ahmad Razif?

Hubungan dingin jejaskan kedudukan
MOHD. SHARIZA ABDULLAH DAN RADUAN HUSSAIN  |  25 April 2016 12:38 AM
KUALA TERENGGANU 24 April - Kedudukan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar menjadi persoalan apabila pihak istana dikatakan menarik balik semua gelaran kebesaran yang dianugerahkan kepada beliau, kelmarin.
Ahmad Razif Abdul Rahman
Ahmad Razif Abdul Rahman
Walaupun tiada pengesahan daripada pihak istana berhubung tindakan tersebut, namun ia dikaitkan dengan ucapan beliau ketika menghadiri satu majlis bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada hari berkenaan.
Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir dikatakan dipanggil menghadap baginda di Istana Syarqiyah sebelum penarikan gelaran itu dilakukan.
Tindakan istana itu dilihat meletakkan kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar berada dalam keadaan genting memandangkan pelantikan jawatan itu dilakukan atas perkenan Sultan Terengganu selaku ketua ne­geri.
Isu mengenai penarikan gelaran dan kedudukan Ahmad Razif mula tersebar di media sosial sejak semalam apabila biarpun menghadiri dua majlis di Kampung Sura Jetty, Dungun dan pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, nama beliau langsung tidak disebut oleh pengerusi majlis.
Hari ini pula ketika menghadiri Persidangan Waqaf Senusantara 2016 yang disempurnakan oleh Sultan Mizan di Primula Beach Resort di sini, nama Ahmad Razif hanya disebut “Yang Amat berhormat Menteri Besar.”
Bagaimanapun Ahmad Razif yang ditemui pemberita selepas majlis berkenaan enggan me­ngulas mengenai penarikan pingat atau kedudukannya apabila sekadar berkata; “Tidak, tidak. Tak apa. Terima kasih.” Reaksi yang sama turut diberikan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Osman Muda.
Berikutan apa yang berlaku, ramai pemerhati melihat kedudukan Ahmad Razif ‘sudah tidak selamat lagi’ dan meletakkan Terengganu di ambang krisis Menteri Besar sekali lagi.
Kali terakhir ia berlaku apabila Ahmad Razif mengambil alih jawatan tersebut daripada ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.
Selain dikatakan mempunyai hubungan dingin dengan pihak istana, Ahmad Razif juga berhadapan dengan undi tidak percaya yang dikemukakan oleh Ahmad Said pada 8 Mac lalu semasa Sidang DUN, namun usul itu ditolak.
Bagaimanapun, krisis politik yang dihadapi Ahmad Razif kali ini lebih sukar kerana mempunyai kaitan dengan pihak istana.
Satu sumber memberitahu, buat masa ini UMNO menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan langkah sete­rusnya.
“Berdasarkan perkembangan terkini, pucuk pimpinan parti mempunyai pilihan sama ada berunding dengan pihak Istana atau menggantikan Ahmad Razif,” katanya ketika dihubungi.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/politik/apa-nasib-ahmad-razif-1.290358#sthash.LZfsUzmf.dpuf

No comments:

Post a Comment