Ad

Saturday 30 April 2016

Malam penentuan


BARISAN pemain Perak kini sudah bersedia untuk menghampakan PKNS pada aksi separuh akhir kedua Superbest Power Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

EMPAT pasukan, Johor Darul Takzim (Johor DT), Kedah, PKNS dan Perak akan turun membuat perhitungan bagi memburu dua slot ke final kempen Superbest Power Piala FA 2016 malam ini.

Johor DT akan melayan kunjungan Kedah pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos di Larkin, manakala Perak pula akan menjadi tuan rumah kepada PKNS.

Dua perlawanan ini pasti ‘panas’ kerana keempat-empat pasukan memiliki kelebihan tersendiri, namun aksi tumpuan sudah pasti terarah terhadap pertembungan antara Harimau Selatan menentang Kedah di Larkin.

Mana tidaknya, dalam dua pertemuan terakhir mereka di Alor Setar minggu lalu, Kedah membuktikan kehebatan untuk menyekat pasukan lawan mereka itu yang menyaksikan skuad Helang Merah itu menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA disusuli keputusan seri 1-1 pada aksi Liga Super minggu berikutnya.

Justeru, aksi di Larkin malam ini sudah pastinya sengit kerana Johor DT tidak mahu mimpi ngeri di Alor Setar berulang.

“Saya menjangka pertembungan yang sengit dan mencabar kerana Kedah bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan. Rentak mereka juga sukar diramalkan. Oleh itu, kami harus sentiasa fokus sepanjang perlawanan malam esok (malam ini) walaupun saya akui barisan kami agak kepenatan selepas beraksi pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Rabu lalu,” jelas jurulatih Johor DT, Mario Gomez semalam.

Menurut Gomez, semangat skuad kendaliannya itu juga berada pada tahap terbaik selepas mencatat kemenangan bergaya 2-1 ke atas Ayeyawady United pada kempen Piala AFC, Rabu lalu.

Pada satu lagi aksi separuh akhir, Perak boleh dianggap pasukan pilihan untuk meneruskan kemaraan selepas mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi pertama di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 15 April lalu.

Peluang beraksi di gelanggang sendiri malam ini sudah pasti mahu dipergunakan sepenuhnya oleh Perak dan mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk meneruskan kemaraan selepas memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.

Semangat barisan pemain Perak kini semakin melonjak ekoran kemenangan 3-2 ke atas Felda United Ahad lalu. 
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz47JMF6zPv Hakcipta terpelihara


No comments:

Post a Comment