Ad

Tuesday, 12 April 2016

Chong Wei di landasan tepat

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
 
CHONG WEI mempamerkan permainan meyakinkan untuk muncul juara Terbuka Malaysia buat kali ke-11 kelmarin.

PENCAPAIAN jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang meraih gelaran ke-11 Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia kelmarin menjadi bukti pemain itu masih berada di landasan tepat.

Sasaran utama sudah tentu pada temasya Sukan Olimpik Rio, Ogos depan, namun permainan yang me­yakinkan ketika menundukkan pemain No. 1 dunia dari China, Chen Long 21-13, 21-8 sekali lagi menjadikan dia sebagai pencabar yang masih sukar untuk digugat.

Chong Wei juga boleh dikatakan sebagai ‘penyelamat’ bagi badminton negara sebagaimana kejayaan dia merampas kembali gelaran Terbuka Malaysia yang pernah menjadi milik Chen Long tahun lalu.

Jelas sekali kehadiran Chong Wei pada kali ini selepas tidak beraksi pada tahun lalu ekoran penggantungan (doping) kembali mendatangkan seri acara berprestij itu dan mengekalkannya sehingga ke perlawanan akhir.

Terdahulu, Chong Wei pernah dikejutkan dengan kekalahan awal pada Seluruh England dan Terbuka India bulan lalu, namun prestasi cemerlang di laman sendiri ternyata me­legakan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen (gambar).

Bekas pemain perseorangan Denmark itu berkata, Terbuka Malaysia merupakan contoh terbaik untuk membuktikan apa yang dikatakan sebelum ini iaitu kepercayaan bahawa Chong Wei akan bangkit bukan perkara yang main-main.

“Inilah (kemenangan Chong Wei) perkara yang saya mahu jelaskan kepada anda sebelum ini. Saya tidak perlu panik kerana saya percaya Chong Wei akan kembali tetapi ia bergantung kepada cara dia beraksi.

“Dia juga ada peluang yang sama (seperti pemain-pemain lain) untuk memenangi Olimpik walaupun dia tewas pada pusingan pertama Seluruh England, jadi tiada sebab untuk panik ke­rana dia telah buktikan di sini dan juga November lalu,” kata Frost ke­lmarin.

Situasi sama pernah dihadapi pemain berusia 33 tahun itu apabila tersingkir awal pada Terbuka Korea Selatan pada September tahun lalu, diikuti Terbuka Denmark (Oktober).

Begitupun, dia kembali dengan ren­tak kejayaan apabila muncul juara pada tiga kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka Perancis, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong untuk menamatkan kempen 2015.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berharap pemain No. 4 dunia itu tidak terus diberikan tekanan dengan harapan yang tinggi untuk muncul juara dalam setiap kejohanan disertainya.

“Keadaan sekarang jauh berbeza terutama dari segi umur, perjalanan waktu kerana jika dilihat pada 2008, Chong Wei yang ketika itu masih muda hanya fokus pada Olimpik.

“Tahun 2012 juga masih sama tetapi sekarang dia sudah berkeluarga serta semakin berusia dan adakalanya saya juga perlu sesuaikan keadaan berdasarkan tahap kece­deraan jika ada,” kata Hendrawan.

Terbuka Malaysia kali ini tidak menyaksikan Chong Wei beraksi berseorangan sehingga ke final kerana dia turut ditemani beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sehingga ke hari terakhir kejohanan.

Begitupun, tuah masih tidak menyebelahi Peng Soon-Liu Yin apabila sekali lagi kempunan meraih gelaran di laman sendiri selepas tewas kepada pa­sangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.

Mereka yang kini berada di ran­king ke-12 dunia juga harus diberikan pujian selepas menunjukkan peningkatan sejak dua bulan lalu apabila me­langkah ke final Master Thailand dan kejayaan merangkul Terbuka New Zealand, Mac lepas.

“Mereka mempamerkan prestasi yang menakjubkan di sini tetapi kami juga perlu adil untuk menilai prestasi mereka kerana saya juga rasa pemain-pemain dari negara lain sudah mula keletihan” ujar Frost.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz45buFOj5K Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment