MACAN MALAYA
30 APRIL
2016
Bencana
Kuwait '81 benam Galacticos Malaysia
Peter Rajah
melepaskan dua gol ketika seri dengan Thailand 2-2.
Bencana
Kuwait '81 benam Galacticos Malaysia
KALAU 6
April 1980 sentiasa dikenang sebagai detik emas bola sepak Malaysia sepanjang
zaman, bagaimana pula dengan kempen Kelayakan Piala Dunia Kumpulan 3 Asia di
Kuwait dari 21 hingga 27 April 1981?.
Dijulang
selaku perwira di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur kerana layak ke Sukan Olimpik
Moscow, skuad yang hampir sama tiba-tiba dikecam sebagai petualang dalam
peristiwa yang digelar ‘Bencana Kuwait 1981’!.
Korea Selatan
yang dijinakkan 2-1 dalam Kelayakan Olimpik, membalas dendam manakala Kuwait
yang dibenam angka sama ketika Pestabola Merdeka 1980 di ibu kota, membelasah
skuad Karl Heinz Weigang ini 4-0 di Stadium Al Qadisiya.
Anehnya,
Malaysia ketika itu turut dibanjiri tonggak Kelayakan Olimpik seperti James
Wong, Hassan Sani, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Shukor Saleh,
Bakri Ibni, Datuk Jamal Nasir Ismail, mendiang Datuk R Arumugam dan Khalid Ali.
Juga kembali
memperkasa negara ialah penyerang terbilang, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari
sekali gus gandingannya dengan James dan Hassan, amat dinanti-nantikan seperti
ketika mereka menjuarai Sukan Sea Jakarta 1979.
Anggota lain
skuad yang di bawah pengurusan Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud itu termasuk
mendiang Peter Rajah, S Pushpanathan, Allahyarham Yahaya Jusoh, Aw Kim Leong,
Ahmad Yusoff, Muhidin Hussin, Zulkifli Hamzah dan G Torayraju.
Namun
Galacticos Malaysia ini (mirip Real Madrid atau JDT sekarang) yang turut
disertai pemain profesional kelab Hong Kong, Chow Chee Keong dan Yip Chee
Keong, hanya mampu mengutip satu mata dan menduduki tempat kedua corot kumpulan
itu.
Di balik
kemalapan bintang-bintang ini, muncul ‘wira tidak didendang’ – Ibrahim Din,
pemain Angkatan Tentera yang menyumbat dua gol untuk mengikat Thailand 2-2
dalam perlawanan pelengkap jadual sambil Malaysia mengucapkan Adios Espana 82’!
(Sepanyol, tuan rumah Piala Dunia).
Hampir 10
tonggak skuad ini kemudiannya digugurkan atas alasan telah dimamah usia,
manakala tugas Weigang (warga Jerman) berpindah kepada anak tempatan,
Allahyarham Jalil Che Din, jurulatih skuad negara pada Sukan Olimpik Munich
1972.
Itulah
kegagalan Kelayakan Piala Dunia Malaysia yang ketiga selepas di Seoul 1973 dan
Singapura 1977, namun sekadar untuk melegakan sedikit luka besar itu ialah
hakikat bahawa Kuwait yang dilatih Carlos Alberto Parreira dari Brazil memang
bukan calang-calang pasukan.
Di Espana
‘82, juara Piala Asia 1980 itu berjaya mengikat Czechoslovakia 1-1, namun
dibenam oleh pemenang tempat keempat Piala Dunia itu, Perancis 4-1 dan hanya
kalah tipis 1-0 kepada England dalam aksi Kumpulan 4.
SUMBER-SINAR
HARIAN 30 APRIL 2016
No comments:
Post a Comment