Ad

Saturday 30 April 2016

Tugas sukar tapi bukan mustahil

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR , FOTO PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH
30 APRIL 2016
Tugas sukar tapi bukan mustahil

Kerjasama berpasukan yang tinggi menjadi kunci Hijau Kuning mencapai keputusan positif dalam satu-satu perlawanan.
Tugas sukar tapi bukan mustahil
SATU keputusan menang dan satu keputusan seri bukan kayu pengukur bahawa prestasi Kedah lebih baik dari Johor Darul Ta’zim (JDT) sebaliknya keupayaan semasa yang akan mempengaruhi sesuatu perlawanan tersebut.

Menang 2-1 pada separuh akhir pertama Superbest Power Piala FA 2016 disusuli dengan keputusan seri 1-1 pada aksi Liga Super di mana kedua-dua perlawanan diadakan di Stadium Darul Aman, sekali lagi pada malam ini Stadium Larkin akan menemukan juara Liga Super 2015 dan juara Liga Perdana 2015 untuk separuh akhir kedua Piala FA.

Kedah yang membawa kelebihan satu gol dilihat bukan satu jaminan kukuh buat skuad Tan Cheng Hoe itu apabila lawan telah mempersiapkan kesebelasan utama termasuk empat pemain import dengan merehatkan mereka sebaliknya barisan kedua sahaja yang ditugaskan untuk tugasan Piala AFC 2016 pada Rabu lalu.

Hijau Kuning yang kehilangan perancang utama di tengah padang iaitu Liridon Krasniqi serta Amirul Hisyam Awang Kechik jelas merisaukan Cheng Hoe namun beliau menegaskan pemain-pemain lain masih mampu mengisi kekosongan tersebut.

Menurutnya, pertemuan bertemu Harimau Selatan sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu telah memberikan sedikit sebanyak gambaran taktikal dan kelibat pemain utama lawan yang perlu diberi perhatian.

“Stadium Larkin menghadirkan satu perasaan sukar dan bukan tugas mudah buat semua pasukan bukan sahaja Kedah tetapi bukan satu tugas mustahil kerana jika kita kekal konsisten dengan corak permainan seperti pada dua perlawanan dahulu, kita mampu capai keputusan positif,” katanya.

Bukan tugas mudah

BERDEPAN Menghadapi satu pasukan yang dibarisi majoriti pemain kebangsaan selain mempunyai dua penyerang import antara paling berbahaya di Liga Malaysia iaitu Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero, di atas kertas Hijau Kuning dilihat bukan lawan buat skuad kendalian Mario Gomez itu.

Cheng Hoe menegaskan, beliau tidak menafikan bahawa Kedah akan menghadapi kesukaran sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung apabila JDT sendiri berikrar menyiapkan kesebelasan utama dan bermain bermati-matian pada pertemuan tersebut.

Bagaimanapun, Hijau Kuning turut melakukan perkara yang sama apabila mengadakan perlawanan persahabatan baru-baru ini dengan skuad Kedah bawah 21 tahun untuk mengekalkan kecergasan pemain selain mencorakkan taktikal dan mengenal pasti sentuhan pemain pelapis baharu.

“Permainan bola sepak akan memihak kepada pasukan manakah yang paling sedikit melakukan kesilapan dan pada dua pertemuan lalu Kedah berjaya mengurangkan banyak kesilapan mudah dan saya berharap kesilapan-kesilapan sebegitu akan terus dikurangkan,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN 30 APRIL 2016

No comments:

Post a Comment