Ad

Friday, 29 April 2016

Johor DT tekad musnahkan

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI
DIAZ akan kembali memperkuatkan jentera serangan Johor DT pada aksi menentang Kedah di Larkin malam ini selepas direhatkan pada kempen Piala AFC di Myanmar Rabu lalu.

SKUAD Johor Darul Takzim (Johor DT) akan turun dengan misi untuk memusnahkan Kedah pada aksi separuh akhir kedua Superbest Power Piala FA 2016 di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Kedua-dua pasukan akan sekali lagi turun membuat perhitungan bagi memburu tiket ke final kejohanan berprestij itu selepas aksi pertama memihak kepada Kedah yang menyaksikan skuad yang mendapat jolokan Helang Me­­rah itu menang 2-1 di Alor Setar pada 16 April lalu.

Atas kertas, aksi separuh akhir kedua malam ini dilihat memberi kelebihan kepada Kedah, namun ia belum memberi jaminan kepada mereka untuk melangkah bergaya kerana Johor DT amat sukar untuk rebah setiap kali beraksi di Larkin.

Pengendalinya, Mario Gomez berkata, biarpun kelebihan kini memihak kepada pasukan Helang Merah, namun bermain di laman sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Johor DT nanti.

“Mungkin mereka mempunyai kelebihan sebelum ini apabila berjaya menewaskan kami dengan keputusan 2-1, jurang itu tidaklah begitu jauh. Kami masih mempunyai peluang cerah untuk layak ke pusingan seterusnya.

“Kelebihan bermain di laman sendiri akan dipergunakan sepenuhnya untuk mencari kemenangan. Saya positif bahawa Johor DT mampu bangkit dan menampilkan corak permainan lebih baik pada malam esok (malam ini),” kata Gomez ketika dihubungi di Johor Bahru semalam.

Mengulas mengenai percaturannya, Gomez dilihat begitu yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya yang sudah bersedia mengorak langkah untuk meneruskan kemaraan ke pentas akhir.

“Sebelum ini, beberapa pemain tonggak seperti Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz direhatkan pada perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang skuad dari Myanmar, Ayeyawady United.

“Pemain-pemain ini direhatkan bagi membolehkan mereka fokus menghadapi saingan separuh akhir kedua Piala FA, kami akan turun dengan sepenuh kekuatan pada perlawanan itu nanti,” jelasnya.

Gomez menambah, kemenangan 2-1 ke atas Ayeyawady United pada Piala AFC Rabu lalu yang membawa mereka mara ke pusingan kalah mati akan menjadi suntikan semangat buat barisan pemainnya pada aksi menentang Kedah nanti.

“Saya janjikan persembahan yang terbaik pada malam esok (malam ini), saya lihat kemenangan ke atas Ayeyawady United telah membangkitkan semangat anak-anak buah saya biarpun kebanyakan mereka letih berikutan jadual yang padat,” katanya.Kedah

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz47GX2v3La Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment