AKSI Junio
(tiga dari kanan) ketika menanduk masuk gol penyamaan Perak pada aksi menentang
PKNS di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi yang berkesudahan seri 2-2.
PERAK lega
selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan PKNS FC pada aksi separuh akhir
pertama kempen Superbest Piala FA 2016 di Stadium Hang Jebat, Melaka malam
tadi.
Keputusan
tersebut ternyata memberi kelebihan kepada skuad kendalian Syamsul Saad itu
yang akan beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan separuh akhir kedua 30
April nanti.
PKNS yang
dilihat hampir pasti meraih kemenangan 2-1 pada perlawanan malam tadi,
seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana kelekaan jentera pertahanan mereka
pada minit-minit terakhir perlawanan telah dipergunakan sepenuhnya oleh Perak
untuk menjaringkan gol penyamaan menerusi Thiago Junio.
Pada aksi
tersebut, kedua-dua pasukan bermula agak hambar tanpa memperlihatkan sebarang
aksi berbahaya pada separuh masa pertama.
Rentak yang
terlalu berhati-hati mengakibatkan permainan lebih banyak berlegar di kawasan
tengah.
Namun,
situasi berubah pada separuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan tampil dengan
rentak yang lebih agresif.
Begitupun,
PKNS lebih bernasib baik apabila memperoleh gol pembukaan pada minit ke-47
menerusi Gabriel Guerra yang mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas
pertahanan Perak bertindak kasar ke atas pemain lawan dalam kotak penalti.
Gol tersebut
ternyata menyemarakkan semangat kedua-dua pasukan yang dilihat lebih ghairah
melancarkan asakan dan hasilnya, Perak berjaya menyamakan kedudukan pada minit
ke-57 menerusi tandukan Nurridzuan Hassan.
Pada minit
ke-72 kedudukan kembali berubah dan PKNS sekali lagi mendahului pasukan lawan
apabila memperoleh gol kedua menerusi jaringan Guerra.
Begitupun,
kegembiraan PKNS itu musnah apabila Junio muncul wira Perak selepas
menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir perlawanan, sekali gus
memberikan mereka kelebihan jaringan di tempat lawan.
Skuad
kendalian Syamsul itu hanya memerlukan keputusan seri pada aksi separuh akhir
kedua di Ipoh nanti.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz45yY0H2NX
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment