ARKIB :
28/11/2012
KITA sering
mendengar perkataan nusyuz yang sering dikaitkan dengan perangai isteri. Wanita
terutama isteri sangat takut kepada perkataan nusyuz kerana memperlihatkan
perangai buruk yang menyebabkan dia diceraikan.
Sebenarnya
isu nusyuz banyak kaitannya dengan nafkah. Untuk mendapatkan nafkah, salah satu
syarat utama nafkah ialah 'isteri menyerahkan diri sepenuhnya kepada suami,
walaupun suami seorang kanak-kanak'.
Jika isteri
menahan diri daripada disetubuhi, maka suami tidak wajib memberinya nafkah. Ini
kerana Rasulullah SAW mengahwini Aishah dan hanya bersatu selepas dua tahun
akad perkahwinan dan baginda tidak membiayai nafkah melainkan selepas bersatu
dengan Aishah.
Jika isteri
menahan dirinya kerana sebab yang hak seperti suami tidak membayar mahar tunai
atau tidak menyediakan tempat tinggal yang sesuai, maka suami wajib membayar
nafkah.
Ulama Hanafi
kebanyakannya berpendapat secara umumnya, isteri yang bekerja tidak menyerahkan
diri sepenuhnya kepada suami, maka dengan itu dia tidak berhak mendapat nafkah.
Bagaimanapun,
ada pandangan dalam mazhab Hanafi, sekiranya si isteri keluar rumah untuk
bekerja dan suami meredainya, maka wajib nafkah ke atasnya kerana dia masih
taat dan tidak nusyuz. Sekiranya suami tidak reda, maka gugur haknya ke atas
nafkah kerana dia dikira tidak taat atau nusyuz.
Isteri yang
nusyuz perlu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka
isteri itu tidaklah menjadi nusyuz. Jika dilihat, peruntukan ini mencerminkan
Hukum Syarak yang telah dijelaskan oleh para ulama.
Sebenarnya
isu nusyuz banyak digunakan oleh suami untuk tidak membayar nafkah kepada
isteri dan isteri perlu sedar bahawa walau apa sekalipun pangkat dan
kedudukannya, dia mesti menghormati dan mentaati suami kecuali jika suami
memerintahkannya mensyirikkan Allah atau membuat maksiat.
Malah isteri
mesti sentiasa ingat bahawa taat dan tunduk kepada kemahuan suami adalah
sebahagian daripada akad nikah yang diterima suami daripada wali isteri.
Isteri tidak
wajib bekerja dan menanggung keluarga. Sebaik sahaja seorang wanita berkahwin,
dia diletakkan di bawah jagaan suaminya sebagai satu amanah.
Suami bukan
sahaja wajib memberinya makan dan minum malah wajib memberinya pendidikan agama
supaya dia (isteri) tahu akan tanggungjawab dan kewajipannya. Oleh itu, sebelum
berkahwin, setiap pasangan perlu jelas siapa isteri dan siapa suami dan siapa
yang perlu melaksanakan apa.
Dalam hal
nafkah, jika suami tidak membayar nafkah dalam tempoh tiga bulan, isteri berhak
memohon perceraian melalui fasakh di bawah seksyen 53(1)(b). Isteri perlu
membuktikan bahawa dia tidak nusyuz untuk membolehkan mahkamah membubar
perkahwinannya kerana kecuaian suami daripada membayar nafkah.
Pada masa
yang sama di bawah peruntukan seksyen 53(1)(i) Enakmen Undang-undang Keluarga
Islam Melaka 2002, seorang suami boleh menfasakhkan isteri, jika isterinya
secara sengaja dan tanpa sebab yang munasabah enggan disetubuhi.
Dalam hal
ini, jika suami berjaya dalam permohonan fasakhnya, maka dia juga secara
automatik tidak wajib membayar nafkah semasa berkahwin atau semasa isteri dalam
iddah. Ini menunjukkan hubungkait fasakh dengan nusyuz dan kewajipan suami
membayar nafkah.
Isteri juga
perlu akur bahawa haknya untuk bekerja adalah dengan kebenaran suami, namun,
jika suami semasa mengahwini isteri tahu isteri seorang wanita bekerja dan
menyara keluarganya, maka suami tidak boleh kemudiannya meminta isteri berhenti
kerja kecuali dengan kemahuannya sendiri.
Suami juga
perlu sedar bahawa kewajipan menyara isteri adalah tanggungjawabnya dan jika
dia mahu isterinya bekerja, membantunya dalam menyara keluarga, maka suami
tidak boleh kemudiannya berkata bahawa isterinya nusyuz kerana bekerja
sehinggakan tanggungjawab utama isteri iaitu melayan suami terabai dan tidak
dilaksanakan.
Suami tetap
tidak berhak kepada gaji isteri dan jika isteri memberi gajinya untuk
kepentingan keluarga, itu adalah sedekah jariah isteri tersebut.
Isteri tetap
akan nusyuz jika dia melampaui batas dan menyalahgunakan kebenaran bekerja yang
diberikan suami.
Sebagai
seorang isteri yang bekerja, dia perlu menjaga maruah diri dan suami dan
mengehadkan pergaulannya dengan lelaki lain untuk menjaga keharmonian rumah
tangga.
Isteri tetap
tidak boleh membenarkan lelaki masuk ke rumahnya semasa ketiadaan suami di
rumah atau bergaul bebas dengan lelaki lain tanpa kehadiran suami.
Jika isteri
bekerja kerana membantu kedudukan ekonomi keluarga, suami tidak boleh memerintahkan
isteri melayannya seolah-olah isterinya tidak bekerja sepanjang hari.
Keseimbangan
antara bekerja dan tanggungjawab melayan suami perlu ada untuk mengelak isteri
menjadi nusyuz atau suami menyiksa atau mendera isterinya dalam usaha
menguatkuasakan haknya sebagai suami.
Dalam banyak
kes perceraian di Mahkamah Syariah hari ini, ketidakseimbangan ini menjadi
punca perceraian dan suami mendabik dada enggan membayar nafkah kerana
isterinya dikatakan nusyuz.
Isteri pula,
atas dasar cinta, bekerja dari pagi hingga ke petang, balik mengurus rumah dan
anak-anak tanpa bantuan pembantu rumah atau suami sehingga memudaratkan
kesihatannya, mendapati dirinya dipersalahkan kerana tidak melayan suami.
SUMBER-Artikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121128/ba_02/Isteri-nusyuz-tiada-hak-nafkah#ixzz45wgagNfk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment