Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD.
HANAFIAH
ZAINAL (dua dari kiri) dan
Shafiqul Islam berjabat tangan selepas sidang akhbar menjelang saingan Piala
AFC 2016 antara Selangor dan Sheikh Jamal di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang malam ini. Turut kelihatan kapten Selangor, Mohd. Shahrom Abdul Kalam
(kiri) dan kapten Sheikh Jamal, Enamul Haque.
SELEPAS mencatatkan prestasi
tidak menentu dalam kempen Liga Super, Selangor melaungkan amaran untuk bangkit
mencatat kemenangan dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia 2016 (AFC)
menentang Sheikh Jamal di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.
Atas kertas, sudah pasti skuad
kendalian Zainal Abidin Hassan (gambar) itu tiada masalah untuk menundukkan
pasukan dari Bangladesh tersebut yang seakan-akan sudah mengangkat bendera
putih apabila sekadar membawa 14 pemain sahaja pada aksi keempat Kumpulan E.
Dengan keadaan pasukan pelawat
yang tidak lengkap memberi keyakinan tinggi kepada Gergasi Merah untuk mengutip
tiga mata penuh di laman sendiri.
Zainal berkata, beliau dia
tidak mahu Selangor memandang rendah saingan pasukan lawan, sebaliknya mahu
para pemain bangkit mencipta kemenangan selepas tewas 1-3 kepada Felda United
dalam saingan Liga Super, Jumaat lalu.
Katanya, Gergasi Merah tiada
pilihan selain mencipta kemenangan agar peluang untuk melayakkan diri ke
pusingan seterusnya lebih terbuka.
“Sasaran kita adalah mengutip
tiga mata penuh kerana jika kita gagal mencipta kemenangan malam esok (hari
ini), ia akan membawa kesukaran kepada Selangor. Jadi, misi kita adalah wajib
menang bagi meneruskan saingan dalam Piala AFC 2016.
“Saya harap pemain tak ambil
mudah walaupun kami menang 4-3 ke atas mereka di Dhaka (15 Mac lalu) dan kali
ini beraksi pula di tempat sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur
semalam.
Selepas tiga perlawanan,
Selangor menghuni tangga ketiga dengan empat mata, di belakang pendahulu
Kumpulan E, Tampines Rovers (Singapura) dengan tujuh mata dan Ceres dari
Filipina (lima mata).
Sheikh Jamal pula gagal meraih
sebarang mata, sekali gus berada di tangga keempat selepas tewas ketiga-tiga
perlawanan.
Dalam pada itu, pada perlawanan
tersebut, Zainal tidak menurunkan Mauro Olivi selepas direhatkan seketika oleh
pihak pengurusan berikutan isu pergaduhan dalam bilik persalinan yang
melibatkan penyerang import dari Argentina itu dengan pemain tengah, Mohd.
Hafiz Kamal.
Sementara itu, kapten Selangor,
Mohd. Shahrom Abdul Kalam menyifatkan ketiadaan Olivi tidak menjejaskan rentak
permainan mereka dan mahu pasukannya kekal fokus untuk memburu tiga mata di
Selayang.
“Kami akui selepas tewas dengan
Felda United semangat sedikit jatuh, namun selepas melakukan ‘post-mortem’,
moral pemain kembali pulih untuk berdepan saingan esok (malam ini) dan tekad
mencatat kemenangan buat pasukan,” katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz45bKAPrdd
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment