Pada hari ini 25.4.1991
Timbalan Perdana Menteri Encik Ghafar Baba telah merasmikan Majlis `Tahun
Teknologi Getah 1991' bertempat di Rancangan Tanah Pinggir Padang Besar, Sik,
Kedah. Tahun 1991 dipilih sebagai `Tahun Teknologi Getah' yang bertemakan `Teknologi
Meningkatkan Pendapatan' kerana melalui teknologi akan dapat meningkatkan
pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran serta memendekkan jangka masa keremajaan
pokok getah. Seramai 107,000 pekebun kecil getah terbabit dengan kempen tahun
Teknologi Getah di seluruh Malaysia iaitu kira-kira 8,000 pekebun kecil
mewakili negeri masing-masing. Kempen Tahun Teknologi Getah itu akan dijalankan
hingga akhir tahun di mana pekebun-pekebun kecil akan diberikan penekanan
mengenai pentingnya teknologi baru getah diamalkan, kerana teknologi berkenaan
bukan sahaja meningkatkan pendapatan, tetapi juga hasil. Dalam ucapan
perasmiannya Encik Ghafar Baba berkata bahawa pekebun-pekebun kecil getah
digalak meningkatkan hasil daripada 1,100 kilogram bagi setiap hektar kepada
1,800 kilogram sehektar seperti yang dihasilkan diestet-estet, kerana perbezaan
700 kilogram itu menyebabkan pekebun-pekebun kecil kerugian sehingga RM1,400
setiap hektar. Hasil itu juga boleh
ditambah sehingga 2500 kilogram sehektar kerana lebih banyak kaedah yang
diperkenalkan oleh Risda untuk meningkatkan hasil melalui pengenalan klon baik,
membasmi penyakit serta penggunaan baja yang betul. Di antara agensi-agensi
lain yang turut serta dalam kempen tersebut ialah Pusat Penyelidikan Getah
Malaysia (RRIM), Mardec, Felcra, Felda dan Universiti Pertanian Malaysia.
Sesungguhnya dengan pelancaran Kempen Tahun Teknologi Getah 1991 diharap para
pekebun kecil getah akan berjaya meningkatkan hasil pendapatan mereka ke tahap
yang lebih baik.
http://www2.arkib.gov.my/hids
No comments:
Post a Comment