Ad

Friday, 29 April 2016

MLM 2016 masih hangat

Oleh NOR AZURIN ALI
FotoAMIRKHALID

SEDAR atau tidak, sudah 13 minggu pentas Maharaja Lawak Mega (MLM 2016) bersiaran. Memasuki musim kelima penganjuran, pastinya penonton mengharapkan impak komedi yang lebih bertenaga berbanding musim lalu.

Melihat kepada corak MLM 2016, sedikit perbezaan boleh dirasai berbanding sambutan yang diraih menerusi musim terdahulu. Mungkin ramai yang bersetuju apabila MLM 2016 dikatakan hilang separuh bisanya, sementelah tiadanya penyertaan daripada pelawak-pelawak senior seperti Nabil, Johan, Zizan Razak dan Sepahtu.

Menegaskan program yang pernah mencetuskan fenomena dan mendapat rating tertinggi tidak berapa lama dahulu itu masih relevan, Pengurus Saluran Astro Warna, Emarina Mohd. Kamal memberitahu, MLM 2016 tetap berada pada kedudukan sama sebagaimana yang dicapai dalam penganjuran sebelum ini.

Bagaimanapun, sikap segelintir masyarakat yang tidak mahu memberi peluang kepada muka baharu membuatkan timbulnya kritikan dan komen yang tidak enak tentang peserta tahun ini.

“MLM 2016 masih berada pada tahapnya, cuma mungkin segelintir peminat masih mengharapkan penyertaan pelawak kegemaran mereka.

“Pengisian untuk pentas lawak tahun ini sama seperti tahun lalu, cuma ada peserta yang masih asing dalam kalangan peminat.

“Kami cuma memberi peluang kepada pelawak baharu untuk beraksi. Kami juga akan mengadakan semula pertandingan Raja Lawak bagi mencari lebih ramai pelawak generasi pelapis,” kata Emarina usai pusingan separuh akhir MLM 2016 yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam, Selangor, Jumaat lalu.



Malam separuh akhir MLM 2016 menyaksikan kumpulan Bocey, Joras, LOL dan Puteh berjaya melangkah ke pentas akhir MLM yang akan diadakan pada 29 April (malam ini).

Berbeza dengan minggu persembahan, malam akhir MLM 2016 akan berlangsung di Stadium Tertutup Perbadanan Pasir Gudang, Johor.

Minggu lepas juga menyaksikan satu-satunya peserta solo, Rayza Mukmin atau nama sebenarnya Mohd. Rizal Fahmi Mukhter mengakhiri perjuangan di MLM 2016.

Biarpun komedi Rayza banyak menyentuh isu yang memerlukan penonton berfikir, namun salah seorang juri tetap MLM 2016, Shaheizy Sam menjelaskan, penyampaian yang mendatar membuatkan persembahan menjadi sedikit hambar.

“Rayza ada idea stand-up comedy yang kreatif dan memerlukan penonton berfikir, tetapi disebabkan terpaksa bekerja seorang diri, graf persembahannya mendatar.

“Dia harus memasukkan warna ke dalam persembahannya supaya penonton tidak boleh menjangka apa yang akan diperkatakan. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan Rayza pada pusingan separuh akhir,” ulas Sam.

Dalam pada itu, menjadi antara peserta pilihan dan sering diramalkan sebagai juara menanti bagi MLM 2016, kumpulan Bocey pula menjelaskan, mereka tidak mahu terlalu memikirkan soal kemenangan kerana perkara tersebut akan menjejaskan proses pencarian idea dan boleh memberikan tekanan kepada mereka.

Sebaliknya, trio yang sudah dua kali berpengalaman beraksi di pentas akhir MLM itu mahu fokus untuk menyampaikan persembahan yang terbaik. Mereka berharap akan memaksimumkan kualiti komedi untuk dinikmati penonton menjelang malam akhir MLM 2016.


KEMUNCAK MLM 2016 malam ini menyaksikan persaingan daripada peserta berkumpulan iaitu Bocey, Joras, LOL dan Puteh.

“Sejak dari awal lagi, kami sangat menitikberatkan agar penonton boleh menerima lawak yang disampaikan.

“Kami tidak mahu memikirkan soal kalah menang kerana perkara itu akan menambahkan tekanan dan mengganggu proses pencarian idea. Jika tewas sekali pun, kami mahu peminat mengingati lawak kami.

“Untuk malam akhir nanti (malam ini), kami akan menggabungkan semua isi lawak dari minggu pertama sehingga ke minggu ke-13. Semestinya, kami berharap dapat memberikan persembahan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini,” ujar Abam mewakili dua lagi ahli kumpulan Bocey, Fad dan Achik.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz47DOftvqX Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment