Ad

Thursday 28 April 2016

JDT kekal rekod bersih

28 April 2016 12:40 AM
Penyerang JDT, Safee Sali (kiri) meraikan jaringannya bersama
PENYERANG JDT, Safee Sali (kiri) meraikan jaringannya bersama Muhammad Akram Mahinan (kanan) dalam perlawanan Kumpulan H, Piala AFC menentang Ayeyawady United di Yangon, Myanmar semalam. GAMBAR IHSAN JDT
KUALA LUMPUR 27 April – Walaupun tidak menyenaraikan beberapa nama besar pasukan, juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) masih mampu meraih kemenangan untuk mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu selepas menum­paskan Ayeyawady 2-1 dalam perlawanan Kumpulan H, Piala AFC di Yangon hari ini.
Dengan kemenangan itu, JDT yang sudah pun melayakkan diri ke pusingan kedua mengekalkan rekod bersih untuk mengumpul mata maksimum 15 mata dari­pada lima perla­wanan.
Pe­ngen­da­li JDT, Ma­rio Gomez meletakkan kepercayaan kepada tenaga tempatan sepenuhnya dalam perlawanan itu manakala pemain import dan pemain tonggak seperti Mohd. Safiq Rahim, Farizal Marlias dan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak direhatkan untuk memastikan mereka memiliki tenaga secukupnya bagi menghadapi Kedah dalam separuh akhir kedua Piala FA Sabtu ini.
Tanpa ramai pemain utama, pasukan tuan rumah yang sebelum ini dibelasah 8-1 di Larkin, cuba mencipta kejutan dan berjaya menyaingi JDT pada awal perlawanan di Pusat Latihan Belia di ibu negara Myanmar itu
Ayeyawady hampir membuka tirai jaringan menerusi percubaan Naing Lin Oo pada minit ke-20 dan rembatan Kyaw Zayar Win selang dua minit kemudian namun gagal membuahkan hasil.
Asakan bertubi-tubi Ayeyawady akhirnya meletakkan mereka di depan apabila pemain tengah Thiha Zaw memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang JDT berpunca daripada hantaran lintang Christopher Chizoba untuk menyumbat masuk bola pada minit ke-26.
Tuan rumah hampir menggandakan jaringan selang dua minit kemudian tetapi rembatan Zaw terkena palang selepas menerima hantaran lintang daripada Chizoba.
Tersentak dengan serangan tuan rumah, JDT membalas asakan dan hampir menyamakan kedudukan tetapi percubaan Amirul Hadi Zai­nal berjaya dinafikan oleh penjaga gol Vanlal Hruala.
Bagaimanapun, Amirul tidak dapat dihalang pada minit ke-30 apabila dia melepaskan rembatan leret setelah mendapat umpanan cantik pemain sayap S. Chanturu untuk menggegarkan gawang.
JDT meneruskan momentum garang mereka selepas rehat dan berpeluang menggandakan jaringan pada minit ke-60 tetapi bola yang ditanduk pertahanan Junior Eldstal berlalu begitu sahaja di depan gol tanpa disambut oleh rakan sepasukannya setelah menerima hantaran lintang ketua pasukan Mohd. Amri Yahyah.
Ketika perlawanan dilihat akan berkesudahan seri 1-1, Safee Sali memastikan tiga mata penuh menjadi milik Harimau Selatan empat minit sebelum permainan tamat apabila merembat masuk bola yang melantun selepas Mohammad Fadh­li Shas menyaksikan tandukannya terkena palang selepas menyambar sepakan bebas Amri.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-kekal-rekod-bersih-1.293441#sthash.cia0mr1V.dpuf

No comments:

Post a Comment