Ad

Wednesday 20 April 2016

The Fighters enggan lepas takhta liga

JDT hanya tunggu masa untuk rampas teraju
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  20 April 2016 12:46 AM
ALI ASHFAQ
ALI ASHFAQ
KUALA LUMPUR 19 April - Selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut, pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim mahu pemainnya mengekalkan rekod cemerlang dan mempertahankan kedudukan pendahulu Liga Super apabila menerima kunjungan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka esok.
Menurut Irfan, hanya kemenangan mampu menjamin skuad The Fighters untuk kekal di persada liga kerana pasukan tangga kedua, Johor Darul Ta’zim (JDT) menunggu masa untuk melihat mereka melakukan kesilapan.
“Kami sudah menang tiga perlawanan berturut-turut dan sudah pasti saya mahu pemain mengekalkan rekod tersebut dalam usaha terus kekal di tangga teratas. Jika perkara sebaliknya berlaku ia akan memberi ruang kepada JDT untuk memintas.
“Ketika ini prestasi PDRM sedang meningkat maka kami perlu berhati-hati, malah jika penyerang Ali Ashfaq diturunkan esok saya mahu pemain saya mengawasinya dengan baik.
“Dalam perlawanan esok juga saya tidak dapat menurunkan Hasni (Zaidi Jamian) kerana sudah mengutip tiga kad kuning,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Felda berjaya meraih tiga kemenangan berturut-turut selepas menumpaskan Pahang 2-0, diikuti Terengganu (4-1) dan Selangor (3-1), sekali gus membolehkan mereka berada di puncak Liga Super dengan 18 mata, satu mata di depan JDT.
Sementara itu, JDT turut mencari tiga mata kemenangan selepas seri 2-2 ketika menentang Kelantan dalam aksi terdahulu apabila menentang Sarawak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Dalam pada itu, Selangor yang menduduki tangga ketiga perlu memastikan kemenangan berpihak kepada mereka meskipun tugas itu kelihatan sukar apabila skuad kendalian Zainal Abidin Hassan bakal menentang Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Ekoran daripada kekalahan dalam aksi terakhir liga menentang Felda United, Selangor menerima tekanan hebat daripada penyokong mereka.
Menentang Pulau Pinang esok di laman sendiri seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengembalikan semula kepercayaan peminat terhadap skuad Red Giants.
Dalam satu lagi aksi tumpuan, Kedah perlu melupakan seketika kejayaan menumpaskan JDT 2-1 dalam separuh akhir pertama Piala FA, minggu lalu apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk menentang Terengganu FC II.
Satu lagi perlawanan menyaksikan Kelantan turun dengan misi membawa pulang tiga mata penuh apabila berdepan pasukan tangga tercorot, Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, esok.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/the-fighters-enggan-lepas-takhta-liga-1.277752#sthash.NQAi7Y2a.dpuf

No comments:

Post a Comment