ARKIB : 29/04/2009
PETALING JAYA - Jurulatih negara,
K. Rajagobal akan memanggil antara 25 hingga 30 pemain bagi menjalani sesi
latihan sebagai persediaan Pilihan Malaysia menghadapi Manchester United dalam
siri perlawanan persahabatan Jelajah Asia 2009 pada 18 Julai ini.
Bekas jurulatih skuad bawah 20
tahun negara, Harimau Muda ini bagaimanapun tidak dapat membayangkan sama ada
akan memilih anak buah lamanya atau meneruskan khidmat tonggak senior kerana
terlalu awal untuk berbuat demikian apatah lagi Liga Malaysia masih berlangsung.
Dia yang dilantik ke kerusi panas
itu mulai 20 April lalu, cuma mampu membayangkan untuk mendapatkan
sekurang-kurangnya dua perlawanan persahabatan dengan lawan handalan sebagai
pemanas badan buat Pilihan Malaysia menjelang aksi menentang The Red Devils.
Kata Rajagobal yang juga
mengendalikan skuad bawah 23 tahun negara: "Sama ada cukup atau tidak
tempoh 10 hari untuk menyediakan pasukan, terpaksalah saya terima dan cuba buat
segala yang terbaik jika itu ditetapkan oleh FAM (Persatuan Bola Sepak
Malaysia).
"Bagi saya, setiap pemain
yang bakal dipanggil berlatih pasti mempunyai impian untuk dipilih menentang
kelab sehebat United tetapi saya lebih suka memikirkan masa depan buat pasukan
kebangsaan selepas itu," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Rajagobal bagaimanapun
mengesahkan tidak akan mengundang mana-mana bintang asing hanya untuk
memperkuatkan Pilihan Malaysia walaupun menentang The Red Devils yang memiliki
reputasi selaku juara bertahan Liga Perdana England, Liga Juara-juara Eropah
dan Piala Kelab Dunia.
"Lebih baiklah kita berikan
peluang kepada pemain kita," katanya yang tidak menganggap sepak mula
perlawanan persahabatan itu, 5.30 petang sebagai mampu menjejaskan pemain
Malaysia yang biasa bermain lebih lewat dalam pertandingan tempatan dan
antarabangsa sebelum ini pada pukul 8.45 malam.
"Kita kan orang Malaysia,
sudah tinggal di sini bertahun-tahun. Ia okey bagi saya (untuk mula bermain
5.30 petang)," katanya yang turut membarisi Pilihan Selangor yang
ditewaskan Manchester United 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium
Merdeka, Kuala Lumpur pada 1981.
Ketika itu katanya, Selangor yang
turut dianggotai Allahyarham Mokhtar Dahari dan mendiang R. Arumugam, sering
mengundang beberapa kelab handalan asing lain termasuk Boca Juniors (Argentina)
dan Flamengo (Brazil) bagi mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa.
Misi antarabangsa buat skuad
negara selepas menentang United ialah Pestabola Merdeka pada awal Ogos ini,
diikuti dengan dua perlawanan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 menentang
Uzbekistan di Tashkent dan Petaling Jaya pada November ini.
Sementara itu, skuad bawah 23
yang turut diterajuinya bagi menghadapi misi utama - Sukan SEA Ke-24 di Laos,
Disember ini, turut menghadapi Piala Antara Benua Kedua yang menemukan mereka
antaranya dengan Brazil, Jepun, Korea Selatan dan Mexico dari 1 hingga 14 Jun
ini.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5AIAMd0rJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment