MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID 23 MAC 2018
Akhyar
Kelibat Akhyar mencuri tumpuan.
KELIBAT Muhammad Akhyar Rashid dalam aksi persahabatan bertemu Mongolia kelmarin nyata terus mencuri perhatian penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan.
Lagenda bola sepak negara, Khalid Ali menyifatkan persembahan yang ditunjukkan pemain itu sungguh luar biasa walaupun hanya dimasukkan di separuh masa kedua.
Jelasnya, Malaysia memerlukan lebih ramai pemain seperti Akhyar jika mahu memperbaiki mutu permainan di masa akan datang.
"Saya memang tabik pemain nombor 7 (Akhyar) kerana dia telah menunjukkan keberanian yang tinggi dalam aksi-aksi antarabangsa.
"Bagi saya, kita memang memerlukan lebih ramai pemain seperti ini yang sentiasa berlari dan sama sekali tidak takut untuk memberi asakan demi asakan untuk membantu negara menghasilkan jaringan.
"Sayangnya, penyerang kita terlalu tumpul. Mungkin Tan Cheng Hoe perlu membariskan lebih ramai pemain muda yang lebih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas ini," katanya.
Mengulas sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menghantar pemain muda berbakat besar seperti Akhyar beraksi di luar negara, Khalid menyifatkan keputusan itu bergantung kepada keperluan.
"Pada saya tidak semestinya kita perlu menghantar pemain kita ke luar negara. Mungkin FAM hanya perlu melantik seorang pengarah teknikal yang benar-benar berkualiti, yang mana individu yang dilantik itulah yang boleh membantu mengembangkan lagi bakat pemain seperti Akhyar untuk terus maju di masa akan datang," katanya lagi.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23 MAC 2018
No comments:
Post a Comment