Ad

Friday, 23 March 2018

Nazirul Naim intai peluang

Jumaat, 23 March 2018 | 7:58pm
NAZIRUL Naim (kanan) terkejut menerima panggilan sertai skuad kebangsaan dan sedia beri komitmen. - FOTO GOH THEAN HOWE
Nazirul Naim intai peluang
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Ketiadaan dua pemain pertahanan kiri Johor Darul Ta'zim (JDT), La' Vere Corbin-Ong dan Fazly Mazlan yang dilepaskan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe membuka peluang buat Nazirul Naim Che Hashim kembali bersama skuad Harimau Malaya.

Biarpun dia mendapat pengesahan panggilan itu pada pagi tadi, ia tidak memberi sebarang masalah buat Nazirul Naim memberikan komitmen untuk hadir melaporkan diri ke kem latihan pusat pada sebelah tengahari.

"Saya dapat panggilan (panggilan skuad kebangsaan) subuh (pagi) tadi, saya diminta untuk sertai pasukan kebangsaan pada tengahari.

"Agak mengejutkan juga, mungkin ini rezeki saya. Saya baru balik bercuti, mula berlatih sehari dengan Perak.

Bagi saya tak ada masalah, siapa yang diberi peluang, dipanggil akan bersedia pada bila-bila masa," katanya yang kini beraksi dengan Perak.

Nazirul Naim, 24, antara sembilan pemain baharu yang dipanggil oleh Cheng Hoe hari ini bagi menggantikan 14 pemain JDT yang dilepaskan selepas aksi persahabatan antarabangsa menentang Mongolia semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Malaysia sekadar seri 2-2 sekali gus mengundang kritikan kepada Cheng Hoe kerana menggunakan ramai pemain JDT dalam skuad utama.

Nazirul Naim yang kali terakhir beraksi bersama Harimau Malaya ketika tewas 1-4 di tangan Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram tahun lalu akan bersaing merebut tempat dengan seorang lagi pertahanan kiri, Syazwan Andik.

"Saya perlu mendapatkan semula stamina kerana saya baru balik bercuti dan perlawanan dengan Lubnan pula hari Selasa ini. Untuk kesebelasan utama, saya serahkan kepada jurulatih untuk memilih, jika diberi peluang sudah tentu saya akan lakukan bersungguh-sungguh," katanya.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan berlepas ke Beirut malam esok untuk aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan sebelum berdepan Nepal pada perlawanan persahabatan di Bukit Jalil pada 1 April.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 23 March 2018 | 7:58pm

No comments:

Post a Comment