ARKIB : 05/05/2009
HINDUN binti Abi Umaiyah
merupakan isteri kepada Abu Salamah. Dia termasuk dalam golongan pertama
memeluk Islam.
Hindun bersama Abu Salamah
berhijrah ke Ethiopia bersama sekumpulan penganut agama Islam apabila berlaku
penentangan terhadap nabi Muhammad di Mekah. Hindun melahirkan seorang anak
bernama Salamah di Ethiopia lalu mendapat gelaran "Ummu Salamah" yang
membawa maksud ibu Salamah.
Abu Salamah seorang yang aktif
berperang dan mengalami luka parah pada tulang sewaktu Perang Uhud, akibatnya
Abu Salamah pengsan lalu meninggal dunia di pangkuan Nabi Muhammad.
Selepas lama Ummu Salamah
menjanda, beberapa orang datang melamarnya. Namun, semua lamaran itu ditolak
dengan jawapan yang lembut dan manis.
Akhirnya Nabi Muhammad menghantar
utusan untuk melamar Ummu Salamah untuk menjadi isteri beliau.
"Saya menolak lamaran
Rasulullah kerana saya sudah tua, bersifat cemburu dan banyak tanggungan
keluarga," begitulah jawapan Ummu Salamah kepada utusan Nabi Muhammad.
"Ya Ummu Salamah, jika kamu
sudah tua, maka saya lebih tua dari kamu. Jika kamu bersifat cemburu, maka
Allah akan menghilangkan cemburu dalam diri kamu. Jika kamu banyak tanggungan
keluarga, maka Allah dan rasulnya akan menanggungnya," balas nabi Muhammad
selepas mendengar kata-kata Ummu Salamah itu.
Ummu Salamah menunjukkan
kebijaksanaan dan kepintaran ketika kaum Quraish menghalang umat Islam memasuki
kota Mekah untuk menunaikan haji.
Kota Mekah ketika itu masih di
bawah jagaan kaum Ouraish yang masih belum beragama Islam. Pasukan tentera
Quraish menunggu ketibaan nabi Muhammad dan rombongannya di luar kota Mekah
dengan azam menyekat mereka dari masuk ke kota Mekah.
Nabi Muhammad tidak mahu
bertembung dengan pasukan tentera Quraish kerana rombongannya datang dengan
aman untuk menunaikan haji dan bukannya untuk berperang.
"Siapa antara kamu yang
boleh menunjukkan jalan lain yang menuju ke belakang tentera Quraish?"
tanya nabi Muhammad yang ingin melencong ke jalan lain untuk memasuki kota
Mekah tanpa bertemu dengan pasukan tentera Quraisy.
"Saya!" balas salah
seorang ahli rombongan itu lalu berlari ke hadapan untuk menunjuk jalan kepada
nabi Muhammad.
Walaupun jalan yang diikuti Nabi
Muhammad dan rombongannya sempit dan menyulitkan pergerakan mereka, namun azam
dan tekad yang tinggi untuk menunaikan haji membara di setiap hati ahli
rombongan membuatkan mereka berjaya mengharungi sehingga tiba di sebuah kawasan
bernama Hudaibiyah, beberapa meter dari kota Mekah.
Satu peristiwa aneh berlaku
apabila unta yang dinaiki oleh nabi Muhammad tidak mahu bergerak seolah-olah
ada sesuatu kuasa yang menghalangnya maju ke hadapannya. Unta itu terus duduk
walaupun nabi Muhammad cuba mengarahkannya bangun dan berjalan semula.
"Adakah unta ini mengalami
sesuatu yang tidak baik sehingga tidak mahu bergerak ke hadapan?" tanya
salah seorang ahli rombongan nabi Muhammad.
"Tidak. Allah yang
menghalang tentera bergajah Abrahah masuk ke Kota Mekah menghalang unta
tunggangan saya maju ke hadapan," balas nabi Muhammad lalu turun dari
belakang untanya.
Nabi Muhammad memerintahkan
rombongannya berhenti berkhemah di kawasan itu. Pasukan tentera Quraish yang
mengetahui perkara itu terus menuju ke kawasan perkhemahan nabi Muhammad dan
mendirikan perkhemahan bertentangan dengan khemah umat Islam.
Nabi Muhammad menghantar Usman
bin Affan sebagai utusan untuk berbincang dengan pasukan tentera Quraish
tentang niat nabi Muhammad dan rombongannya untuk menunaikan haji.
"Sebenarnya kami datang
untuk menunaikan haji dan mengapa kamu semua menghalang kami untuk menunaikan
haji? Lagipun selama ini orang Arab tidak pernah menghalang sesiapa pun
menunaikan haji..." jelas Usman kepada Abu Suffian, ketua pasukan tentera
Quraisy.
"Kami bukan nak menghalang
tetapi kamu semua tidak akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini. Kamu boleh
menunaikan haji lain kali tetapi kena patuhi syarat-syarat yang kami
tetapkan," balas Abu Suffian sejurus mendengar penjelasan Usman itu.
Nabi Muhammad dan rombongan
mengadakan pertemuan dengan pasukan tentera Quraish untuk berdamai.
Selepas mengadakan perbincangan,
mereka bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak.
Apabila Perjanjian Hudaibiyah
sudah termeterai, pasukan tentera Quraish menanti Nabi Muhammad dan
rombongannya pulang semula ke Madinah.
"Dengar sini semua ahli
rombongan, sila sembelih unta dan cukur rambut kamu. Kemudian kita pulang
semula ke Madinah!" kata nabi Muhammad kepada ahli rombongannya.
Namun tiada seorang pun ahli
rombongan yang menyahut arahan nabi Muhammad itu. Nabi Muhammad terkejut
melihat reaksi ahli rombongannya dan tidak mengulang kata-katanya kali kedua
kerana takut turun kemurkaan Allah kepada mereka yang enggan mengikut arahannya
itu.
Rombongan Nabi Muhammad berasa
keliru dengan apa yang telah berlaku dan teragak-agak untuk melakukan perintah
baginda itu.
Mereka terfikir bagaimana untuk
pulang ke Madinah sedangkan mereka masih belum menunaikan haji.
Inikan pula nabi Muhammad
memerintahkan mereka untuk menyembelih korban dan bercukur rambut. Nabi
Muhammad berasa sedih lalu masuk ke dalam khemahnya kerana ini merupakan kali
pertama umat Islam tidak menjalankan perintahnya.
"Mengapa kamu bersedih,
wahai Rasulullah?" tanya Ummu Salamah yang berada dalam khemah.
"Saya memerintahkan semua
ahli rombongan menjalankan penyembelihan korban dan bercukur kepala sebagai
tanda keluar dari Ihram. Namun tidak ada sesiapa pun yang bangkit untuk
menjalankan perintah saya," jelas Nabi Muhammad kepada Ummu Salamah.
"Keluar sekarang dan jangan
kata apa-apa pada mereka di luar itu. Sembelih unta sebagai korban dan panggil
tukang gunting untuk mencukur rambut," Ummu Salamah memberi cadangan
kepada Nabi Muhammad bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Nabi Muhammad
melakukan sebagaimana cadangan Ummu Salamah.
Semua ahli rombongan yang melihat
apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad segera bangkit dari tempat duduk, lalu
menyembelih korban masing-masing.
Selepas itu, ada yang mencukur
rambut mereka dan ada yang menggunting rambut mereka. Kepintaran dan
kebijaksanaan Ummu Salamah itu menunjukkan bahawa praktis dalam melakukan
sesuatu adalah lebih efektif berbanding dengan hanya berkata-kata sahaja.
l Petikan daripada buku Srikandi
Perisai Nabi terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5ANMGRbVx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment