ARKIB : 17/04/2009
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SHEIKH Muhammad Abu Zahrah
berkata: Allah SWT menyebut pada ayat terdahulu berkenaan dua kumpulan Yahudi
dan Kristian yang mendakwa agama mereka adalah agama Allah yang sebenar. Dan
bahawasanya, ia adalah agama para Nabi keseluruhan. Begitu juga agama Nabi
Ibrahim a.s.
Mereka juga mendakwa bahawa
mereka tidak pernah meminda dan menukar ayat-ayat Allah. Begitu juga golongan
musyrikin mendakwa dari kalangan keturunan Nabi Allah Ibrahim tetapi Allah
menjelaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Ibrahim tidak mengikut dakwaan dan
sangkaan mereka. Tetapi ia Nabi wahdaniah yang mengesakan Allah serta
meruntuhkan segala berhala.
Ayat ke-67
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang
pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid
sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan
ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.
Sebab Nuzul
Ibn Jauzi berkata: Ada dua
pendapat berkenaan dengan sebab nuzul.
Pertama: Pembesar Yahudi berkata
kepada Nabi SAW bahawa kami lebih utama daripadamu dengan agama Ibrahim a.s dan
dia adalah di kalangan Yahudi sedangkan kamu adalah yang berhasad lantas turun
ayat ini. Ini adalah pendapat Ibn Abbas r.a..
Kedua: Amru bin al-As hendak
menjadikan raja Najasyi murka kepada sahabat Nabi seraya berkata: Mereka
mencerca Isa a.s lantas Raja Najasyi bertanya: Apakah yang dikatakan oleh
sahabatmu (Muhammad tentang Isa)?
Mereka menjawab ia adalah hamba
Allah dan rohnya serta kalimah yang dicampakkannya kepada Maryam, kemudian
turunnya ayat ini seperti kata Abdul Rahman bin Ghanam.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: Ayat ini
jelas menunjukkan bahawa Nabi Allah Ibrahim a.s tidak syirik tetapi menganut
agama yang sebenar serta beriman.
Ayat ini sebenarnya sama seperti
ayat 135 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan mereka (kaum Yahudi dan
Nasrani) berkata: Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama
Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk. Katakanlah (Wahai Muhammad: Kami
orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami
mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia
dari orang-orang musyrik.
ii. Al-Qurtubi berkata: Allah
menyucikan segala dakwaan-dakwaan mereka yang dusta dan menerangkan bahawa Nabi
Ibrahim a.s di atas agama yang sebenar tanpa sekutu.
iii. Sheikh Syarawi berkata: Ayat
ini jelas menunjukkan bahawa Ibrahim bukan golongan Yahudi kerana golongan itu
datang selepasnya. Begitu juga bukan golongan Nasrani kerana golongan itu
datang selepasnya.
Berdasarkan kepada kalimah Hanif
jelas menunjukkan bahwa Ibrahim AS penganut agama yang bersih datang daripada
Allah SWT yang tiada sebarang condong ke mana arah pun.
iv. Al-Maraghi berkata: Nabi
Ibrahim seorang yang telah diakui kebesaran dan kehormatannya oleh bangsa
Yahudi, kaum Nasrani, dan golongan-golongan musyrik. Namun sama sekali tidak
ada dengan agama mereka penyembahan berhala.
Baginda seorang yang hanya menyerah
diri kepada Allah SWT semata dan seorang yang taat kepada-Nya.
v. Muhammad Quraish Shihab
berkata: Ayat ini membantah kebohongan mereka. Nabi Ibrahim a.s bukan seorang
Yahudi seperti yang diakui oleh orang-orang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani
seperti yang diakui oleh orang-orang Nasrani dengan dalil yang dikemukakan.
Sebaliknya, dia adalah seorang
yang lurus lagi berserah diri kepada Allah dan juga sekali-kali bukanlah dia
termasuk golongan orang-orang musyrik, yang dapat diduga oleh orang-orang
musyrik Mekah yang mengaku mengikut agama beliau.
Ayat ke-68.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak
mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad)
ini serta orang-orang yang beriman (umatnya- umat Islam) dan (ingatlah), Allah
ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang Yang beriman.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: Orang
yang paling berhak mengikuti Ibrahim dan agamanya adalah Nabi Muhammad SAW dan
mereka yang beriman dengannya di kalangan Muhajirin dan Ansar serta mengikut
jejak mereka.
ii. Riwayat Ibn Masud r.a bahawa
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya setiap Nabi ada wali-wali di
kalangan Nabi-nabi. Dan waliku di kalangan mereka ialah bapaku (Ibrahim a.s)
dan kekasih Tuhanku Azzawajalla.
Kemudian Nabi SAW membaca ayat
ini yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi
Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan
juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam).
Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekelian orang-orang Yang
beriman.
iii. Al-Maraghi berkata: Inilah
hakikat Islam dan tujuan iman yang sebenar. Barang siapa yang kehilangan jiwa
seperti itu bererti dia telah kehilangan seluruh agamanya (dalam sanubari).
iv. Muhammad Quraish Shihab
berkata: Ayat ini turun menundukkan persoalan, yakni: Sesungguhnya orang yang
paling dekat kepada Ibrahim dan paling berhak dinamai pengikut Nabi Ibrahim
ialah orang-orang yang bersungguh-sungguh mengikutnya baik yang hidup pada masa
beliau mahupun yang sesudahnya.
v. Hamka berkata: Tuhan menjamin
bahawasanya apabila orang telah benar-benar beriman kepada-Nya, tidak lagi
menduakan hati kepada orang lain, tidak memandang ada yang memberi manfaat atau
mudarat dalam ala mini selain Allah SWT, orang-orang sedemikian akan dipelihara
oleh Allah SWT.
Demikianlah ayat yang
membincangkan berkenaan dengan dakwaan Nabi Ibrahim AS dari golongan mereka
sedangkan dakwaan itu adalah meleset dan batil sebagaimana yang dinafikan oleh
Allah SWT.
Semoga kita menjadi hamba Allah
yang beriman dengan sebenar-benarnya dan tidak menyeleweng sebagaimana golongan
yang lain.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5AAbUskqx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment