29 Mac 2018 3:00 AM
PARA pemain muda negara memiliki
potensi besar untuk menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa pada masa
depan.
KETUA jurulatih Harimau Malaya,
Tan Cheng Hoe memuji barisan pemainnya biarpun tewas 1-2 kepada Lebanon dalam
aksi terakhir Kumpulan B kelayakan Piala Asia di Beirut malam kelmarin.
Ini kerana Cheng Hoe menyifatkan
beliau seakan-akan melihat satu sinar baharu dalam pasukan kebangsaan kerana
sebahagian besar pemain yang baru dipanggil telah menunjukkan persembahan
positif ketika menentang Lebanon.
Skuad negara menutup kempen
kelayakan Piala Asia 2019 dengan menduduki tangga tercorot Kumpulan B selepas
hanya meraih satu mata sepanjang enam perlawanan.
Bagaimanapun, Cheng Hoe yang
dilantik menjadi pengganti kepada Nelo Vingada akhir tahun lalu optimis bahawa
pemain-pemain itu memiliki potensi besar untuk menjadi lebih bagus pada masa
akan datang.
“Selepas dikumpul dua tiga hari
dalam sesi latihan, saya fikir pemain-pemain telah melakukan tugasan terbaik.
Saya mahu memuji dan beri kredit kepada pemain-pemain kerana mereka bermain
baik ketika bertemu pasukan lebih bagus.
“Saya berharap perlawanan ini
akan menjadi suatu pengajaran serta pembelajaran berguna buat mereka. Pada masa
sama, saya berharap mereka akan konsisten untuk masa depan kerana mereka masih
muda.
“Saya telah membawa 13 pemain
baharu. Kami hanya berlatih dua atau tiga hari tetapi mereka menunjukkan
persembahan baik dan saya berharap kami dapat meneruskan persembahan itu dan
inilah adalah generasi baharu untuk Malaysia,” katanya pada sidang akhbar
selepas tamat perlawanan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan,
Cheng Hoe telah membuat keputusan mengejut apabila melepaskan 14 pemain Johor
Darul Ta’zim (JDT) selepas seri 2-2 menentang Mongolia dalam aksi pemanas badan
di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lalu.
Bagaimanapun, dua daripada 14
pemain Harimau Selatan itu iaitu Syafiq Ahmad yang menjaringkan gol tunggal
skuad negara ketika menentang Lebanon dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor telah
dipanggil semula.
Sebelum ini, Cheng Hoe telah
memanggil sembilan pemain bagi menggantikan 14 pemain JDT iaitu penyerang PKNP
FC, Shahrel Fikri, Syazwan Zaipol dan Nazirul Naim Che Hasmin (Perak), Nor
Hakim Hassan (Terengganu FC), Jafri Firdaus Chew dan Shahril Shaari (PKNS
FC), Syawal Nordin (Kedah), Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak (Kuala Lumpur) dan
R. Kogileswaran (Pahang).
SUMBER=KOSMO ONLINE 29 Mac 2018
3:00 AM
No comments:
Post a Comment