Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
TAN CHENG HOE enggan meletakkan sasaran meraih kemenangan besar ke atas Bhutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok, biarpun lawannya itu hanya dibarisi pemain separuh profesional.
Sebaliknya, pengendali pasukan kebangsaan itu berkata dia lebih fokus untuk menamatkan badi tanpa kemenangan yang masih membelenggu skuad Harimau Malaya dalam 12 perlawanan terakhir.
Sehubungan itu, bekas jurulatih Kedah itu menuntut anak buahnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan itu selain berwaspada dengan kejutan mungkin dilakukan pasukan di ranking ke-188 dunia itu.
“Apa yang penting kita harapkan kemenangan. Bukan kemenangan besar kerana setiap perlawanan adalah berbeza. Jadi, saya harap pemain tidak memandang mudah terhadap kemampuan Bhutan.
“Kita dahagakan kemenangan kerana sudah lama kita tidak menang dalam perlawanan di peringkat antarabangsa. Saya harap pemain boleh teruskan momentum seperti ditunjukkan ketika berdepan Lubnan tempohari,” kata Cheng Hoe pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan adalah ketika menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF Suzuki di Yangon, 20 November 2016.
Selepas itu, prestasi suram terus membelenggu pasukan kebangsaan apabila berdepan sembilan kekalahan selain tiga seri termasuk pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 dan persahabatan antarabangsa.
Perlawanan berdepan Bhutan yang dianggap sebagai pasukan belasahan dilihat menjadi medan terbaik untuk Malaysia menamatkan badi tanpa kemenangan.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata, beliau tidak akan melakukan banyak pertukaran pemain seperti ketika aksi terakhir kelayakan Piala Asia berdepan Lubnan, Selasa lalu.
“Kemungkinan saya hanya akan buat dua atau tiga perubahan saja, bukan semua kita tukar. Kita juga akan beri peluang kepada pemain yang belum beraksi pada pertemuan dengan Lubnan tempoh hari,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:53 PM
No comments:
Post a Comment