Ad

Friday, 23 March 2018

Liridon digantung, Baddrol diberi amaran keras

Jumaat, 23 March 2018 | 6:25pm
 
PEMAIN Kedah, Liridon Krasniqi (kanan) dan rakan sepasukan, Baddrol Bakhtiar (tengah) masing-masing menerima hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM. - Foto Osman Adnan
Liridon digantung, Baddrol diberi amaran keras
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Tonggak import Kedah, Liridon Krasniqi digantung dua perlawanan termasuk satu penggantungan automatik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didapati bersalah menyiku leher pemain Perak, Leandro Dos Santos pada aksi Liga Super, 7 Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu menjelaskan Liridon turut didenda RM1,500 dan diberi amaran keras dengan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

"(Liridon bersalah kerana) melanggar Artikel 50.1(d) yang dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM dan hukuman itu tidak boleh dirayu," kata Baljit dalam kenyataan, hari ini.

Seorang lagi pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar hanya diberi amaran keras selepas melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan yang menyinggung pada perlawanan sama.

Selain itu, pemain MIFA, G Mughentirran juga digantung dua perlawanan termasuk satu penggantungan automatik serta diberi amaran keras atas tindakan ganas menampar pemain Kuantan FA, Andre Fransisco William pada aksi Liga Perdana, 6 Februari lalu.

Penolong Pengurus Pasukan PKNP FC, Mohd Arfrenddy Arasad pula menerima hukuman lebih berat apabila digantung tiga perlawanan termasuk satu penggantungan automatik, didenda RM3,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

Mohd Arfrenddy didapati melanggar Artikel 51.1(a) yang dibacakan bersama Artikel 18.4 dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM atas tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan ketika aksi PKNP FC menentang Kedah pada 11 Februari lalu.

Menerusi kenyataan sama, Baljit turut mengesahkan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Bola sepak Pulau Pinang (FAP) dikenakan denda RM3,000 dan RM1,500.

FAS didapati melakukan dua kesalahan apabila gagal membayar tunggakan RM60,000 kepada pemain sayap, K Thanaraj dan RM58,000.00 yang dituntut Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Baljit menjelaskan FAS didenda RM1,500 bagi setiap satu kesalahan itu dan diarahkan untuk menjelaskan kesemua jumlah tunggakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

FAP pula didapati gagal menjelaskan jumlah bonus tertunggak sebanyak USD13,500 (RM52,855) kepada Frank Van Ejis dan Laszlo Kleber serta USD17,500 (RM68,516) kepada Soleye Ranti Martins.

Kesalahan itu menyaksikan FAP didenda sebanyak RM1,500 dan diberi tempoh sama seperti FAS untuk menyelesaikan segala tunggakan itu.

FAS dan FAP turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika gagal atau enggan mematuhi tempoh yang diberikan dengan hukuman berkenaan tidak boleh dirayu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 23 March 2018 | 6:25pm

No comments:

Post a Comment