Ad

Tuesday, 27 March 2018

Akhyar enggan dabik dada

Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
 
MESKIPUN memperaga aksi memukau ketika bertemu Mongolia, Akhyar Rashid mengakui ia belum cukup menjamin tempatnya beraksi pada perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan, Selasa ini.

Malah, pemain sayap lincah itu turut menjelaskan dia masih lagi belum mencapai tahap prestasi yang dimahukan sekali gus menuntutnya terus bekerja keras dan memanfaatkan segala peluang yang diperoleh ketika bersama skuad kebangsaan.

“Gol pada penampilan sulung bersama skuad senior sudah tentu menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berjuang dan mengekalkan momentum yang sedang diraih ketika ini.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu selesa dengan satu gol itu kerana saya tetap perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama memandangkan ramai lagi pemain yang turut berkongsi posisi dengan saya.

“Apapun, saya akan meneruskan kerja keras pada sesi latihan dan jika diberi kepercayaan sekali lagi oleh jurulatih sama ada dalam kesebelasan utama atau pemain simpanan, saya akan tetap memberikan komitmen 100 peratus,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Beirut untuk mengharungi aksi penutup Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu pendahulu kumpulan, Lubnan dengan sebarang keputusan tidak mampu mengubah kedudukan Malaysia yang menghuni tangga tercorot apabila sekadar meraih satu mata.

Pada aksi persahabatan bertemu Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu, pemain yang diberi julukan ‘Neymar Kedah’ itu masuk pada babak kedua menggantikan pemain berpengalaman, Mahali Jasuli untuk penampilan pertamanya bersama skuad senior.

Dia muncul sebagai antara pemain paling menyerlah apabila larian derasnya di bahagian sayap kiri berjaya mengancam kubu pertahanan Mongolia dan dia mencetak satu gol menerusi satu percubaan yang tertampan pertahanan lawan untuk gol kedua Malaysia.

Ancaman yang ditunjukkan pemain sayap Kedah itu turut diakui sendiri pengendali Mongolia, Micheal Weiss yang menyifatkan pemain berusia 19 tahun itu banyak memberi masalah kepada barisan pertahanannya pada aksi berkenaan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 7:38 PM

No comments:

Post a Comment