Syafiq Aznasyafiq.aznan@nstp.com.my
“PEMAIN Mongolia mewarisi asid deoksiribonukleik (DNA) Genghis Khan, jadi mereka juga pejuang!,” tegas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Justeru, Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan pemain Mongolia walaupun skuad Harimau Malaya menduduki ranking lebih baik iaitu tangga ke-178 dunia berbanding lawan 189.
Malah, Cheng Hoe perlu berwaspada memandangkan beliau tidak memiliki begitu banyak maklumat mengenai kekuatan Mongolia, apatah lagi lawan itu kini mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman, Micheal Weiss.
“Saya lihat Mongolia serius apabila menjalani latihan dua minggu di China sebagai persiapan menentang kita.
“Jadi, pemain tidak boleh memandang rendah Mongolia. Mungkin mereka kekurangan daripada segi teknik tetapi lawan mempunyai semangat juang tinggi.
“Berdasarkan sejarah, orang Mongolia ada DNA Genghis Khan yang juga seorang pejuang dan penakluk. Justeru, sudah pasti pemain mereka mewarisi semangat juang itu,” katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Anak buah Cheng Hoe akan melayan lawan itu pada aksi persahabatan kelas A di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok sebelum mengharungi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Beirut, Selasa depan.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui beliau enggan meletakkan tekanan ke atas anak buahnya meskipun sedang berdepan kemarau kemenangan sejak kali terakhir menewaskan Kemboja 3-2 pada Piala AFF, November 2016.
“Ini aksi persahabatan pertama skuad kebangsaan pada 2018 dengan pemain menjalani latihan singkat. Namun, saya percaya dan positif dengan kemampuan semua pemain yang melapor diri kali ini.
“Ini peluang terbaik kita untuk membuka lembaran baharu skuad kebangsaan dan soal prestasi kurang memberangsangkan sebelum ini, kita perlu lupakan kerana kita kini perlu memandang ke hadapan.
“Saya mengharapkan pemain turut berfikiran positif dan bersemangat. Apa yang penting mereka dapat menikmati aksi antarabangsa ini,” katanya.
Sementara itu, Cheng Hoe mengesahkan pemain berdarah kacukan, Kiko Insa yang terpaksa diketepikan akibat jangkitan mata sebelum ini sudah pulih sekali gus boleh beraksi.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 3:59 PM
Harimau Malaya tidak mahu anggap mudah hadapi Mongolia
SAFIQ RAHIM (dua dari kanan) bersalaman dengan kapten Mongolia,
SAFIQ RAHIM (dua dari kanan) bersalaman dengan kapten Mongolia, Turbat Daginaa sambil diperhatikan Tan Cheng Hoe (kanan) dan jurulatih Mongolia, Michael Weiss dalam sidang akhbar mengenai perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Mongolia di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
22 Mac 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR 21 Mac – Kehebatan pahlawan legenda, Genghis Khan bakal menjadi pendorong kepada pasukan bola sepak Mongolia untuk menentang Malaysia dalam aksi persahabatan kelas A di di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, walaupun Mongolia merupakan pasukan ranking lebih rendah iaitu 189 berbanding Malaysia 178, namun untuk menewaskan pasukan berkenaan bukan perkara mudah.
Menurut bekas pengendali Kedah itu, pertemuan tersebut merupakan aksi pertama Malaysia di pentas antarabangsa pada tahun ini.
“Ini kali pertama Malaysia menentang Mongolia (skuad senior) dan saya tidak dapat banyak maklumat mengenai mereka. Mongolia sudah mula melakukan jelajah untuk mengadakan aksi persahabatan dan mereka melakukan persiapan selama dua minggu di China.
“Mungkin dari segi teknikal, Mongolia tidak begitu baik namun semangat juang mereka tinggi dan saya percaya mereka mempunyai semangat juang sama macam Genghis Khan yang pernah menawan China satu masa dahulu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media rasmi perlawanan di Wisma FAM hari ini.
Dalam pada itu, Cheng Hoe enggan memberi tekanan kepada pemainnya walaupun ketika ini peminat Harimau Malaya begitu mendambakan kejayaan selepas Malaysia gagal melakar sebarang kemenangan daripada 10 perlawanan sepanjang 2017.
“Ini adalah perlawanan pertama Malaysia untuk 2018 dan merupakan permulaan yang terbaik untuk pemain beraksi di pentas antarabangsa. Saya tidak memberi tekanan kepada pemain kerana mereka sudah lama tidak dikumpulkan bersama.
“Saya berharap pemain bersemangat untuk bermain dalam satu pasukan. Saya mahu pemain menikmati perlawanan ini dan bermain untuk maruah negara dan bukannya kerana terpaksa,” katanya.
Dalam pada itu, kapten Malaysia, Safiq Rahim berkata, walaupun pemain Mongolia majoritinya berasal daripada semi profesional yang terdiri daripada pelajar dan bermain bola sepak separuh masa, itu bukan bermakna Harimau Malaya boleh memandang rendah terhadap lawan mereka itu.
“Kita perlu bermain seperti satu keluarga. Kami perlukan nafas baharu dan kami tidak boleh memandang rendah terhadap keupayaan Mongolia. Kami perlu dahulukan pasukan sendiri sebelum memikirkan pasukan lain.
“Sebagai pemain, kami sememangnya menitik beratkan ranking negara dan sebab itu kami perlu mendapatkan keputusan terbaik untuk pasukan. Diharapkan pemain negara lebih bersedia untuk memperbaiki kedudukan ranking,” katanya.
Kali terakhir Malaysia beraksi di Stadium Bukit Jalil ialah pada 16 Jun 2015 selepas dibelasah 0-6 oleh Palestin dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di bawah kendalian Dollah Salleh.
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaya-tidak-mahu-anggap-mudah-hadapi-mongolia-1.632486#ixzz5ARZIa2N6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment