Jumaat, 30 March 2018 | 7:06pm
PEMAIN Harimau Malaya jalani
latihan sebelum aksi menentang Bhutan. -Foto Facebook FAM
Cheng Hoe optimis robek gawang
Bhutan
Oleh Devinder Singh
devinder@nstp.com.my
PETALING JAYA: Jurulatih skuad
kebangsaan, Tan Cheng Hoe yakin barisan pemain kurang berpengalaman Harimau
Malaya mampu merobek gawang Bhutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional
Bukit Jalil, Ahad ini.
Bhutan yang dibelasah Maldives
7-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia Selasa lalu, dijangka menampilkan corak
permainan bertahan pada pertembungan sulung antara kedua-dua pasukan itu.
Sekiranya berlaku, Cheng Hoe
perlu mencari jalan untuk membolosi gawang Bhutan, berbeza dengan situasi
dihadapi ketika tewas 2-1 kepada Lubnan dalam aksi terakhir kelayakan Piala
Asia di Beirut atau ketika seri 2-2 menentang Mongolia dalam aksi persahabatan.
Jentera serangan negara diketuai
Zaquan Adha Abd Radzak yang sudah meledak enam gol antarabangsa.
"Sandaran menjaringkan gol
tidak boleh diletakkan kepada penyerang semata-mata, barisan tengah juga perlu
mencari peluang," kata Cheng Hoe yang dijangka akan melakukan beberapa
perubahan selepas perlawanan dengan Lubnan.
"Tidak cukup dengan hanya
menguasai permainan kerana kami perlu menang. Kami tahu Bhutan akan bertahan
habis-habisan, jadi kami perlu sabar apabila menyerang.
"Dalam bola sepak moden kita
tidak boleh terlalu ghairah menyerang kerana kita mungkin terperangkap dengan
serangan balas. Ini yang kita pelajari ketika menentang Mongolia."
Penyerang PKNS, Jafri Firdaus
Chew dijangka diberikan penampilan pertama di peringkat senior untuk memburu
jaringan manakala Syazwan Andik Ishak, Syahmi Safari dan Syawal Nordin turut
menjadi taruhan Cheng Hoe.
Malaysia menampilkan persembahan
mengejutkan ketika bertemu Lubnan walaupun tidak diperkuat 12 pemain bintang
dari Johor Darul Ta'zim, dan hampir mencatat keputusan seri sebelum dikecewakan
dengan gol pada masa kecederaan.
Cheng Hoe berharap anak buahnya
dapat mengekalkan rentak permainan serupa dalam usaha menamatkan kemarau
kemenangan 12 perlawanan sejak November 2016.
"Kita dapat lihat pasukan
lebih harmoni dan mula serasi walaupun baru dikumpulkan. Saya harap dapat
melihat rentak sama ketika menentang Lubnan ditunjukkan. Tetapi kita perlu
memperbaiki kawalan bola dan menjaringkan gol," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 30 March 2018 | 7:06pm
No comments:
Post a Comment