Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
MALAYSIA yang dibarisi ‘skuad
kedua’ nyaris menyentap ego pendahulu Kumpulan B, Lubnan sebelum tewas 1-2 pada
aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Camille
Chamoun Sports City, Beirut, sebentar tadi.
Meskipun tewas, namun skuad
bimbingan Tan Cheng Hoe yang dibarisi ramai muka baharu itu boleh mendabik dada
kerana memperagakan corak permainan menyerang yang rancak dan kerap mencemaskan
pertahanan lawan menerusi beberapa gerakan serangan yang dilancarkan.
Malah, barisan pertahanan negara
yang dibarisi pemain kurang berpengalaman juga wajar diberi pujian kerana
sering mengekang asakan jentera serangan Lubnan yang dilihat bergelut untuk
memecah masuk ke kotak penalti.
Pada aksi terbabit, Malaysia
dihukum seawal minit ke-18 apabila Matthew Davies menjatuhkan kapten pasukan
Lubnan, Hassan Maatouk di dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan, Valentin
Kovalenko tidak teragak agak untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan
rumah.
Maatouk nyata tidak berdepan
masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti itu menerusi satu rembatan kencang
yang menerjah penjuru kiri gol sekali gus menewaskan Hafizul Hakim untuk gol
pembukaan.
Malaysia cuba mengasak dan hampir
mengejutkan Lubnan apabila satu gerakan pantas menerusi bahagian tengah berjaya
menemui Zaquan Adha Abd Radzak namun percubaannya sedikit tersasar melewati
palang gol pada minit ke-22 sebelum hantaran lintang Davies dikuis keluar
penjaga gol Lubnan, Mehdi Kahlil enam minit berselang.
Babak kedua bersambung, Lubnan
memperkemaskan asakan untuk memburu gol tambahan namun tiada percubaan dapat
dihasilkan dalam tempoh 10 minit pertama separuh masa kedua sehinggalah gerakan
Rabih Ataya menerusi bahagian sayap kanan tetapi cubaannya terkena palang pada
minit ke-58.
Percaturan Cheng Hoe untuk
membawa masuk penyerang Johor Darul Ta’zim, Syafiq Ahmad akhirnya memberi impak
segera selepas penyerang muda itu meledak gol penyamaan sekali gus mengejutkan
Lubnan menerusi tandukan deras hasil sepakan sudut pada minit ke-72 untuk
menjadikan kedudukan 1-1.
Malaysia bernasib baik selepas
jaringan Hilal Al Helwe pada minit ke-84 dibatalkan pengadil selepas dia
dilihat berada dalam kedudukan ofsaid.
Begitupun, dia menebus kehampaan
selepas meledak gol pada minit keempat masa tambahan untuk gol kemenangan tuan
rumah.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Rabu, 28 Mac 2018 @ 1:26 AM
No comments:
Post a Comment