news@nstp.com.my
Putrajaya: Penjawat awam yang
berdepan masalah kesihatan kronik dan tidak lagi mampu menjalankan tugas
diberikan pilihan untuk bersara awal menerusi skim persaraan Atas Sebab
Kesihatan (ASK).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, skim ASK itu mendapat persetujuan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan akan dibentangkan di Parlimen bulan depan
dan dijangka dilaksanakan pada April.
Beliau berkata, menerusi dasar
baru itu, kakitangan awam yang memilih untuk menamatkan perkhidmatan mereka
selepas disahkan oleh doktor tidak lagi boleh bekerja dan memberi sumbangan
kepada perkhidmatan awam kerana sakit yang mudarat seperti strok, gangguan
psikologi atau kesan selepas kemalangan akan diberi ganjaran dan faedah pencen
bulanan yang lebih baik.
“Kami menggubal satu peraturan
yang diluluskan kerajaan iaitu bagi mereka yang mengalami sakit dan tidak dapat
menjalankan tugas, kami memberi mereka kelonggaran bersara dalam keadaan yang
cukup baik apabila mereka seolah-olah berkhidmat dengan kerajaan sehingga usia
60 tahun atau usia persaraan wajib.
“Kami percaya kalau mereka terus
bertugas, kemungkinan kesihatan bertambah teruk, malah mereka mungkin tidak
selesa untuk menyumbang khidmat dan produktiviti sebaik mungkin kepada sektor
awam,” katanya, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Zainal
Rahim berkata, menerusi formula baru itu, sebagai contoh penjawat awam yang
memulakan perkhidmatan pada April 2005 dan diberhentikan tahun ini selepas
bertugas selama 12 tahun dan 23 hari (sepatutnya bersara 2046) atas alasan
kesihatan dijangka menerima ganjaran RM70,200 dengan pencen bulanan RM1,200.
“Berbanding peraturan diguna
pakai sekarang, penjawat awam itu hanya mendapat ganjaran RM21,600 dengan
pencen bulanan RM479.99. Jadi menerusi ASK, pencen bulanan diterima hampir tiga
kali ganda,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga
menjangkakan 200 hingga 220 penjawat yang mengalami masalah kesihatan akan
memohon skim berkenaan tahun ini dan jumlah berkenaan bertambah dari tahun ke
tahun.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 20 Februari 2018 @ 3:53 AM
No comments:
Post a Comment