ARKIB : 13/04/2009
Oleh IBRAHIM ABDULLAH
MEKAH atau juga disebut Bakkah,
tempat di mana umat Islam melaksanakan ibadah haji dan umrah terbukti sebagai
tempat yang pertama diciptakan Allah SWT dan sebagai pusat bumi. Nabi SAW
bersabda maksudnya: "Adalah sama tengah bumi itu ialah kaabah".
Dari tanah itulah Allah SWT
menjadikan dada Nabi Adam a.s. Bahawa yang pertama berada pada Kaabah Allah itu
para malaikat, kemudian dijadikan Adam selama 2,000 tahun sebelumnya.
Kemudian daripada itu para
malaikat itu selalu memakmurkan Kaabah Allah itu dengan beramal kepada-Nya,
sebelum Nabi Adam dijadikan oleh Allah SWT.
Selepas itu Allah dengan
kehendak- Nya untuk menjadikan Adam di syurga. Kemudian Allah memerintahkan
untuk turun ke bumi ini, dengan segala hikmah-Nya.
Maka turunlah Nabi Adam di sebuah
pulau Sarandip, dan setelah dikurniakan Allah pada suatu tingkat di syurga,
kemudian Allah berfirman maksudnya: "Wahai Adam, berjalanlah engkau",
Maka ia pergilah berjalan sehingga sampai pada negeri Hindi/India. Setelah itu
kemudian berdiamlah Nabi Adam di sana pada jangka waktu berselang lamanya.
Maka Nabi Adam merasa berdukacita
dan kemudian Allah berfirman maksud-Nya: "Wahai Adam, pergilah menunaikan
haji kepada Kaabah Allah. Maka pergilah Nabi Adam, dan setiap bekas jejak
kakinya itu menjadi hutan rimba dan padang luas/gurun, sehingga tibalah Nabi
Adam di Mekah serta bertemulah dengan para malaikat, seraya malaikat itu
berkata: "Wahai Adam, berbahagialah haji tuan hamba, dan kami ini sudah
sejak 2,000 tahun yang lalu mengerjakan haji pada kaabah ini.
Maka Nabi Adam berkata kepada
malaikat itu: "Bagaimana bacaan pada waktu tawaf itu? Jawab malaikat itu
kami membaca tasbih sebagai berikut: Subahanallahi wal-hamdulillahi wa la ila
ha illallahu wallahu akbar.
Kemudian Nabi Adam bertawaflah di
kaabah itu, serta membaca tasbih kepada-Nya dan Nabi Adam mengerjakan haji
setiap tahun sekali dan seterusnya semasa hidupnya itu.
Pada riwayat Ibnu Abbas r.a
menyebutkan: "Ketika Allah SWT menurunkan Nabi Adam AS ke bumi, maka Allah
berfirman maksud-Nya: Wahai Adam, buatkanlah sebuah istana-Ku, kemudian Nabi
Adam membuat/membina Kaabah atau Baitullah al-Haram untuk mematuhi atas
perintah-Nya.
Kemudian setelah itu kaabah
dibina dengan lima buah batu bukit.
Pertama, bukit Tursina, kedua,
bukit Hira', ketiga, bukit Uhud, keempat, bukit Juddi dan kelima, bukit
Baitulmaqdis.
Menurut kajian ilmiah, bahawa
bola bumi ini pada mulanya tenggelam di dalam air iaitu samudera yang sangat
luas. Kemudian gunung api di dasar samudera ini meletus dengan keras dan
mengirimkan lava dan magna dalam jumlah yang besar yang membentuk bukit.
Bukit itulah tempat Allah
memerintahkan untuk menjadikan lantainya dari Kaabah (kiblat). Batu asal Mekah
dibuktikan oleh kajian ilmiah sebagai batu paling purba di bumi.
Setelah itu Allah terus menerus
memperluas dataran dari tempat ini. Jadi tempat ini merupakan tempat yang
paling tertua di dunia. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Kaabah itu adalah
sistem tanah di atas air, dari tempat itu bumi ini diperluaskan".
Arah kiblat
Prof. Hussain Kamel, menemukan
suatu fakta mengejutkan bahawa Makkah adalah pusat bumi. Pada mulanya ia
meneliti suatu cara untuk menentukan arah kiblat di kota-kota besar di dunia.
Untuk tujuan itu, ia menarik
garis-garis pada peta, dan setelah itu ia mengamati dengan saksama posisi
ketujuh benua terhadap Mekah dan jarak masing-masing.
Ia memulai untuk menggambar
garis-garis sejajar hanya untuk memudahkan projek garis bujur dan garis
lintang. Ia kagum dengan apa yang ditemukan, bahawa Mekah merupakan pusat bumi
atau dunia. (Majalah al-Arabiyyah, edisi 237, Ogos, 1978).
Gambar-gambar satelit yang muncul
kemudian pada tahun 90-an menekankan hasil dan natijah yang sama, ketika
kajian-kajian lebih lanjut mengarah kepada topografi lapisan-lapisan bumi dan
geografi waktu daratan itu diciptakan.
Telah menjadi teori yang mampan
secara ilmiah bahawa lempengan-lempengan bumi terbentuk selama masa geologi
yang panjang, bergerak secara teratur di sekitar lempengan Arab.
Lempengan-lempengan itu terus menerus memusat ke arah itu seolah-olah menunjuk
ke arah Mekah.
Allah berfirman maksud-Nya:
Demikianlah Kami wahyukan kepadamu al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu
memberi peringatan kepada Ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk
(negeri-negeri di sekelilingnya). (asy-Syura: 7).
Kata Ummul Qura bererti induk
bagi kota-kota lain, dan kota-kota di sekelilingnya, menunjukkan Mekah adalah
pusat bagi kota-kota lain, dan yang lain hanyalah berada di sekelilingnya.
Lebih dari itu, kata ummu (ibu)
mempunyai erti yang cukup penting dan luas di dalam peradaban Islam.
Sebagaimana seorang ibu adalah sumber dari keturunan, maka Mekah juga merupakan
sumber dari semua negeri lain serta keunggulan di atas semua kota.
Ada beberapa ayat dan hadis
nabawi yang memperkuatkan fakta ini. Allah berfirman maksud-nya: Wahai jin dan
manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka
lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu
pengetahuan). (ar-Rahman: 33).
Berdasarkan ayat ini dan beberapa
hadis dapat difahamkan bahawa diameter lapisan-lapisan langit itu di atas
diameter bumi (tujuh lempengan bumi). Jika Mekah berada di tengah-tengah bumi,
dengan itu bererti bahawa Mekah juga berada di tengah-tengah lapisan langit.
Selain itu ada hadis yang
menerangkan bahawa Masjidil Haram di Mekah, tempat kaabah berada itu ada di
tengah-tengah tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan yang membentuk bumi.
Nabi SAW bersabda maksudnya:
"Wahai orang-orang Mekah, wahai orang-orang Quraisy , sesungguhnya kamu berada
di bawah pertengahan langit".
Berdasarkan kajian di atas,
bahawa Mekah berada pada tengah-tengah bumi (pusat dunia), maka benar-benar
diyakini bahawa Kota Suci Mekah, bukan Greenwich, yang seharusnya dijadikan
rujukan waktu dunia.
Hal ini akan mengakhiri
kontroversi yang timbul pada empat dekad yang lalu oleh kalangan Barat.
Ada banyak perdebatan ilmiah
untuk membuktikan bahawa Mekah merupakan wilayah kosong bujur sangkar yang
melalui kota suci tersebut. Jika waktu Mekah diterapkan, maka mudah bagi setiap
orang mengetahui waktu solat.
Arah lawan jam
Dalam Islam, ketika seseorang
sedang tawaf di sekitar kaabah, maka ia memulai dari Hajar Aswad, dan
gerakannya harus berlawanan dengan arah jarum jam.
Hal itu adalah penting mengingat
segala sesuatu di alam semesta dari atom hingga galaksi itu bergerak berlawanan
dengan arah jarum jam.
Begitu juga peredaran darah
manusia mulai gerakan berlawanan dengan arah jarum jamnya. Perputaran bumi pada
porosnya dan di sekeliling matahari juga secara berlawanan dengan arah jarum
jam.
Matahari dengan semua sistemnya
mengelilingi suatu titik tertentu di dalam galaksi dan semuanya berputar
berlawanan dengan arah jarum jam.
Sementara itu, jika dilihat
orang-orang yang tawaf di sekeliling kaabah tidak putus-putus sepanjang masa
mengelilingi kaabah, siang dan malam berterusan tidak henti-hentinya, sampai ke
akhir zaman.
Ini membuktikan kota Mekah adalah
kota suci tertua dan sebagai simbol tamadun peradaban umat manusia serta ibadah
dan sebagai pusat bumi atau dunia seperti dirakamkan dalam al-Quran dan
hadis-hadis Nabi SAW.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5A9dJqiIb
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment