ARKIB : 10/04/2009
Di dalam syurga terdapat banyak
buah-buahan yang bermacam bentuk dan rasa. Semua buah-buahan itu boleh dimakan
oleh Nabi Adam dan isterinya, Hawa. Terdapat juga sepohon pokok yang sangat
besar iaitu pohon Khuldi.
Allah telah melarang Nabi Adam
dan isterinya mendekati pokok itu, apatah lagi memakan buahnya. Tujuannya ialah
untuk menguji ketaatan mereka terhadap Allah, di samping menahan hawa dan nafsu
mereka. Dengan ketaatan mereka, Allah dapat memberi kesempatan untuk mereka
terus tinggal di dalam syurga untuk bersenang-lenang dan bersuka ria.
Allah memberikan peringatan
kepada Nabi Adam dan isterinya supaya menjauhkan diri daripada iblis. Jangan
menurut kata dan ajakan iblis kerana iblis sudah terang-terangan menyatakan
dirinya sebagai musuh Nabi Adam dan keturunannya buat selama-lamanya.
Iblis juga sedaya upaya berusaha
siang dan malam tanpa rasa jemu dan berputus asa, untuk menjauhkan Nabi Adam
dan keturunannya daripada terus hidup dalam kebahagiaan.
Allah berfirman kepada Nabi Adam,
"Wahai Adam! Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu. Dia akan selalu
menggoda engkau berdua agar engkau berdua terusir pula dari syurga ini sehingga
engkau hidup sengsara. Di syurga inilah engkau berdua akan dapat hidup bahagia,
tidak akan menderita lapar dan susah".
Bagaimanapun, keimanan Adam dan
Hawa sedikit sebanyak telah tergugat apabila digoda oleh iblis. Iblis yang iri
hati sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan mereka berdua dengan cubaan
berpura-pura baik.
Ia memberi nasihat kepada Nabi
Adam dan Hawa sekiranya mereka makan buah Khuldi tersebut, mereka akan menjelma
sebagai malaikat. Ia juga menggoda mereka dengan menceritakan kelazatan buah
Khuldi dan keharuman pohonnya.
Kata-kata itu membuat Nabi Adam
dan Hawa terasa ingin mencubanya walaupun telah ditegah oleh Allah SWT.
Akhirnya mereka makan juga buah Khuldi itu.
Lalu Allah mencela mereka dengan
firman-Nya yang bermaksud, "Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu
dan memakan buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu
adalah musuhmu yang nyata?"
Nabi Adam dan Hawa yang mendengar
firman Allah itu berasa amat menyesal. Mereka sedar yang mereka telah melakukan
dosa besar. Lalu mereka berkata, "Ya Allah, kami telah menganiaya diri kami
sendiri dan telah melanggar perintah-Mu kerana terpedaya dengan pujukan iblis.
Ampunilah dosa kami, kalau tidak kami akan tergolong dalam golongan orang-orang
yang rugi".
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5A9P1mrlq
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment