ARKIB : 04/05/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
(Siri 14)
SELAMA puluhan tahun, Pendita
atau Rahib Nasrani, Buhaira atau Bahirah, malah beliau juga dikenali dengan
panggilan Jarjis beribadat di sebuah biara atau gereja di Busra tanpa pernah
keluar dari biaranya itu.
Buhaira dikatakan mempunyai
pengetahuan yang amat mendalam mengenai ajaran dan agama Kristian. Ini
menyebabkan beliau begitu dihormati khususnya oleh penganut Kristian yang lain.
Beliau cukup terkenal sehinggakan banyak kafilah-kafilah dagangan yang menuju
ke Syam akan berhenti di Busra semata-mata untuk bertemu dengan Buhaira untuk
mendapatkan berkat dan doa daripadanya.
Tanpa berbuat demikian mereka
dikatakan tidak akan pulang dengan membawa untung dan satu perjalanan yang
selamat. Namun ketika rombongan Abu Talib singgah di Busra seperti yang diceritakan
pada keluaran lalu, Buhaira sendiri keluar kepada mereka dan menyambut
rombongan tersebut sebagai tetamu yang dimuliakan.
Seperti yang disebutkan tadi,
pada hal selama ini, Buhaira tidak pernah keluar dari biaranya itu untuk
menyambut sesiapa.
Ini semata-mata kerana dikatakan
beliau dapat menghidu sesuatu dari rombongan Abu Talib itu. Atas pengetahuan
yang cukup mendalam terhadap isi kandungan kitab Injil, Buhaira dapat
mengenalpasti seorang budak lelaki yang dibawa oleh Abu Talib begitu menepati ciri-ciri
kemunculan seorang Nabi bagi menyambung ajaran Nabi Isa. Lalu beliau bertanya
kepada Abu Talib, mengenai siapakah anak lelaki yang menyertai rombongan
dagangan dari Mekah itu.
"Siapa anak ini, siapakah
keluarga anak ini?" Tanya Buhaira sambil memegang tangan Nabi Muhammad.
Lalu Abu Talib menjawab: "Dia adalah anak saudara saya Muhammad, anak
kepada abang saya, Abdullah yang telah meninggal dunia ketika anak ini masih
dalam kandungan ibunya!," katanya.
Sejurus mendengar jawapan Abu
Talib itu, lantas Buhaira mengangkat tangan Nabi dan berkata: "Inilah
ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh Allah sebagai rahmat untuk
sekelian alam. Dialah nabi yang dijanjikan; kerasulannya yang universal serta
penaklukan dan pemerintahannya telah diramalkan dalam Kitab-kitab Suci!".
Kata-kata Buhaira itu amat
mengejutkan yang lain dan Abu Talib bertanya: "Bagaimana kamu tahu perkara
ini wahai Buhaira, sedangkan engkau baru sahaja mengenali Muhammad yang baru
sahaja tiba dari Mekah ini?"
Buhaira menjawab: "Ketika
kamu bertolak dari Aqabah, tidak ada sebutir batu atau sepohon pokok melainkan
semuanya tunduk sujud dan tidaklah mereka sujud melainkan kepada seorang
nabi!"
"Dialah Nabi yang namanya
dan nama bapa serta keluarganya telah saya baca dalam kitab-kitab sebelum ini
dan saya tahu dari mana dia akan muncul dan bagaimana agamanya akan tersebar di
seluruh dunia," katanya.
Buhaira dapat mengenali
kanak-kanak yang bersama Abu Talib itu sebagai bakal nabi kerana terdapat cap
kenabian di bawah tulang belikat yang berbentuk seperti buah epal.
Abu Talib sendiri terus memeriksa
dan ternyata benar seperti yang didakwa oleh Buhaira. Ini menyebabkan semua
termasuk seluruh ahli rombongan dagangan itu terkejut dengan apa yang mereka
dengar dan saksikan.
Tentu sekali mereka tidak
menyangka bahawa kanak-kanak atau lebih tepat lagi si yatim piatu ini merupakan
yang bakal menjadi pemimpin besar mereka di suatu hari kelak.
"Namun kamu Abu Talib mesti
menyembunyikan perkara itu dan anak saudara ini dari mata kaum Yahudi. Bawalah
dia pulang, tidak perlulah kau meneruskan perjalanan ke Syam.
"Demi keselamatan budak ini
andai jika kamu terserempak dengan kaum Yahudi kerana mereka juga mengetahui
mengenai tanda-tanda kemunculan seorang nabi baru," kata Buhaira.
Abu Talib yang juga sependapat
dengan Buhaira terus mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke
Syam.
Namun sesetengah riwayat menyebut
beliau tetap ke Syam dengan menghantar pulang Nabi Muhammad bersama sebahagian
pembantunya ke Mekah.
Peristiwa pertemuan dengan
Buhaira ini telah diceritakan oleh ramai penulis sejarah termasuk oleh pihak
orientalis.
Namun pihak orientalis
kemudiannya didapati cuba memanipulasikan peristiwa ini dengan mengatakan
bahawa Nabi Muhammad dikatakan tidak sahaja bertemu, malah dikatakan duduk
belajar dengan Buhaira mengenai ajaran-ajaran dan peristiwa-peristiwa sejarah
sebelum ini.
Ini termasuklah kisah-kisah para
nabi, mengenai kaum yang hilang seperti Kaum Ad dan Tsamud dan pelbagai lagi
ajaran-ajaran pokok mengenai agama samawi dari rahib ini.
Malah yang lebih teruk lagi, ada
yang menuduh Abu Talib sengaja membawa anak saudaranya itu bertemu dengan
Buhaira kerana dikatakan beliau telah mendengarkan ramalan yang dibuat oleh
rahib ini kepada orang ramai.
Beliau tidak ada tujuan untuk
berniaga ke Syam kecuali hanya untuk membawakan Nabi Muhammad itu untuk bertemu
Buhaira.
Tidak kurang juga ada yang
menulis Abu Talib tetap meneruskan perjalanan ke Syam tetapi beliau
meninggalkan Nabi Muhammad untuk belajar dengan Buhaira, bukannya pulang semula
ke Mekah sebagaimana yang dinasihatkan oleh Buhaira.
Menangkis
Bagi menangkis dakwaan-dakwaan
ini, Jaafar Subhani dalam bukunya Ar Risalah Sejarah Kehidupan Rasulullah SAW
(1984) menulis bahawa pertemuan Nabi dengan pendeta Nasrani itu merupakan
perkara sederhana sahaja.
"Namun para orientalis
menjadikan peristiwa ini sebagai dalil untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad
belajar dari Buhaira, seorang Nasrani mengenai ajaran-ajaran luhur yang
diperkenalkan 23 tahun kemudian (kedatangan Islam sehingga Rasulullah wafat).
"Bererti Islam itu bermula
dari sumbangan seorang yang beragama Kristian," katanya.
Perkara ini ternyata tidak benar
berdasarkan fakta bahawa:
1) Para sejarawan sepakat berkata
bahawa Nabi Muhammad seorang yang buta huruf dan tidak belajar membaca dan
menulis.
Semasa peristiwa ini berlaku,
Nabi Muhammad dikatakan berusia 12 tahun dan tidak mungkin bagi seseorang yang
semuda itu dapat mengetahui mengenai kitab Taurat dan Injil dan kemudiannya
pada usia 40 tahun, berdasarkan belajar dengan Buhaira itu, Nabi Muhammad
memperkenalkan agama baru.
2) Masa perjalanan untuk
berdagang itu lazimnya singkat dan ini tidak memungkinkan kepada Nabi Muhammad
memperoleh pelbagai pengetahuan mengenai kitab-kitab lama dalam masa yang
singkat.
Menurut Jaafar, lazimnya
perjalanan dagangan dari Mekah ke Syam mengambil masa selama empat bulan,
termasuk masa berhenti untuk berehat di mana-mana destinasi.
"Maka mustahil dalam tempoh
sesingkat itu, seseorang boleh menerima pelbagai ilmu apa tah lagi melibatkan
seorang budak yang begitu tidak mengenal huruf," katanya.
3) Jika benar Nabi Muhammad
dikatakan dihantar untuk belajar dengan Buhaira, tentunya perkara ini tersebar
di kalangan penduduk Mekah menyebabkan semua orang akan membicarakannya.
Namun, keadaan seperti ini tidak
terjadi dan tercatat di mana-mana pengkisahan. Walaupun perkara Nabi Muhammad
belajar dengan Buhaira ini tidak disebut dalam al-Quran, namun kata Jaafar,
jelaslah bahawa peristiwa ini dimanipulasi oleh para orientalis di zaman moden
ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5ANJNsOKR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment