Para pemain Skuad Harimau Malaya
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini selepas
dikecewakan Lubnan 1-2 pada aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019
yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut.-- fotoBERNAMA
29 Mac 2018 11:36 AM
SEPANG 29 Mac - Mohd. Zaquan Adha
Abdul Radzak, yang diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan kebangsaan
menentang Lubnan pada Selasa, menabik rakan-rakan sepasukannya yang mempamerkan
aksi cemerlang, walaupun tewas 2-1 kepada pasukan yang berada di kedudukan
ke-87 dunia itu.
Pemain berusia 30 tahun itu
berkata, beliau menghormati semangat berpasukan dan karakter positif yang
ditunjukkan oleh para pemain skuad Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-178,
selepas hanya dua hari menjalani latihan bersama.
"Kami memang turun padang
dengan hasrat untuk meraih kemenangan* Sebelum perlawanan mula lagi, dah cakap
tiada apa yang mustahil dan dah tanam keinginan untuk menang, cuma nasib tidak
menyebelahi kami.
"Kami akan meneruskan aksi
yang serupa apabila turun melawan Bhutan pada Ahad ini. Kami tidak boleh berasa
selesa selepas aksi Lubnan, tetapi harus memperbaiki kelemahan yang ada untuk
perlawanan-perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sejurus tiba dari Beirut, Lubnan
malam tadi.
Dalam aksi Kelayakan Piala Asia
2019 di Camille Chamoun Sports City Stadium di Beirut, Lubnan mendahului melalui
ketua pasukannya Hassan Maatouk yang membolosi gawang Malaysia menerusi sepakan
penalti pada minit ke-19 selepas pemain pertahanan Malaysia Matthew Davies
melakukan faul terhadapnya dalam kawasan penalti.
Pemain gantian Muhammad Syafiq
Ahmad menyamakan kedudukan bagi Malaysia pada minit ke-72, namun pasukan tuan
rumah berjaya mengatasi Harimau Malaya pada minit akhir masa kecederaan
menerusi Hilal El-Helwe.
Mohd Zaquan merupakan antara
sembilan pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, selepas
mengambil keputusan untuk melepaskan kapten Safiq Rahim serta 13 pemain
daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) berikutan keputusan seri 2-2
menentang Mongolia yang berada di ranking ke-189 dunia di Stadium Nasional
Bukit Jalil, pada Khamis lepas.
Sementara itu, Cheng Hoe berkata
pemain-pemain sedia ada ini akan dikekalkan untuk aksi ke atas pasukan ke-188
dunia, Bhutan di Stadium Nasional pada Ahad ini, kerana barisan kejurulatihan
berpuas hati dengan aksi dipamerkan pemain-pemain tersebut.
"Perlu bagi pujian kepada
sebahagian besar pemain yang pertama kali bersama pasukan kebangsaan dan
bermain dalam perlawanan besar. Bukan mudah, tetapi atas keyakinan dan
kepercayaan, barisan jurulatih yang beri peluang kepada mereka dan mereka balas
dengan prestasi baik* Kami harap pemain-pemain tersebut dapat kekalkan prestasi
konsisten sepanjang tahun ini.
"Walaupun keputusan kurang
positif, tetapi kita nampak perubahan positif dari segi corak permainan yang
boleh menguasai permainan dan beberapa serangan yang kita hampir jaringkan gol.
Jikalau kita ambil peluang tersebut, kita boleh sekurang-kurangnya seri atau
sebaliknya," katanya.
Beliau turut mengingatkan para
pemain skuad Harimau Malaya supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan
Bhutan, dalam misi mencari kemenangan selepas mengharungi 12 perlawanan tanpa
kemenangan.
Kali terakhir pasukan kebangsaan
mencatat kemenangan ketika menewaskan Kemboja 3-2 semasa kempen Piala AFF 2016,
pada November tahun itu. - BERNAMA
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/mohd-zaquan-tabik-rakan-rakan-sepasukan-1.637333#ixzz5BDcuyfvK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment