Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
SKUAD bola sepak kebangsaan sudah
bersedia menamatkan kemarau kemenangan dalam 12 perlawanan apabila menyasarkan
untuk menjadikan Bhutan sebagai ‘mangsa pertama’ pada aksi persahabatan di
Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Kapten pasukan, Zaquan Adha Abd
Radzak mengakui skuad Harimau Malaya akan turun dengan keazaman tinggi dan
berjuang habis-habisan bagi mengelak daripada terus ‘kempunan’ menentang
pasukan yang menghuni ranking ke-188 dunia itu.
Malah, pemain sayap Kuala Lumpur
itu mengharapkan rakan sepasukan dapat mengekalkan rentak sama dan turun dengan
mentaliti untuk menang seperti yang diperagakan ketika bertemu Lubnan,
kelmarin.
“Kami menanam mentaliti untuk
menang sebelum bertemu Lubnan, jadi itulah yang membuatkan semangat pemain
tinggi namun tuah tidak menyebelahi kami. Kami akan teruskan momentum ini dan
memperbaiki lagi kelemahan yang ada.
“Saya percaya jika kami
mengekalkan prestasi sama ketika menentang Lubnan, tidak mustahil kami meraih
kemenangan ke atas Bhutan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Pada masa sama, Zaquan turut
menghamburkan pujian kepada rakan sepasukan yang berjaya mencipta keserasian
dengan baik meskipun berdepan kekangan masa untuk melakukan persiapan.
“Walaupun hanya sempat berlatih
dua hari, pemain berjaya menyesuaikan diri dan memberi tentangan kepada Lubnan.
“Sebenarnya, tidak mudah berlatih
dalam masa singkat dan kemudiannya bertemu lawan yang sukar di tempat mereka.
Jadi, saya sanjung semangat perjuangan rakan,” katanya.
Pada aksi terakhir Kelayakan
Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut
kelmarin, ‘barisan kedua’ Malaysia nyaris merentap ego Lubnan sebelum tunduk
1-2 menerusi jaringan minit akhir lawan.
Meskipun tewas, skuad kebangsaan
yang dibarisi ‘generasi baharu’ itu memperagakan aksi yang jauh lebih baik dan
memberangsangkan berbanding ketika seri 2-2 bertemu Mongolia dalam aksi
persahabatan di laman sendiri, minggu lalu.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Khamis, 29 Mac 2018 @ 7:05 PM
No comments:
Post a Comment