SAFIQ RAHIM (dua dari kanan) bersalaman dengan tonggak Tampines Rovers, Fazrul Nawaz sambil diperhatikan oleh jurulatih mereka Raul Longhi (kanan) dan Jurgen Raab dalam sidang akhbar menjelang perlawanan Piala AFC 2018 bagi kumpulan H di Johor Bahru semalam.
14 Mac 2018 3:00 AM
JOHOR BAHRU 13 Mac – Safiq Rahim yakin Johor Darul Ta’zim (JDT) telah pulih daripada insiden pemergian bintang penyerang dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz dan Harimau Selatan kini bersedia untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan menentang Tampines Rovers esok.
Diaz meninggalkan JDT secara tiba-tiba pada malam mereka sepatutnya ke Vietnam untuk menghadapi Song Lam Nghe An pada penghujung bulan lalu. Ketiadaannya menyaksikan JDT tumpas 2-0 dan kemudian sekadar seri tanpa jaringan dengan Tampines di Singapura.
Walau bagaimanapun, ketua pasukan JDT, Safiq berkata ketiadaan Diaz tidak memberi impak negatif terhadap moral pemain dan beberapa perlawanan dalam Liga Super membuktikan perkara tersebut.
JDT kini merampas semula kedudukan teratas liga selepas menumpaskan Terengganu 1-0 minggu ini.
Safiq juga memberi jaminan bahawa setiap pemain yang terpilih dalam kesebelasan utama akan memberi aksi terbaik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos esok untuk meraih kemenangan ke atas Tampines.
“Kami lebih fokus terhadap pasukan sendiri dengan menilai kekuatan dan kelemahan kami. Setiap kelemahan diperbaiki, manakala kekuatan terus dipertingkat,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan di sini hari ini.
Jurulatih JDT, Raul Longhi bagaimanapun mengingatkan pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan Tampines walaupun mereka akan menghadapi lawan dalam Kumpulan H itu di gelanggang keramat mereka.
Katanya, setiap pasukan yang menentang Harimau Selatan pasti akan berusaha untuk menewaskan JDT.
“Ini kerana setiap pasukan yang bertemu dengan JDT pasti akan melakukan yang terbaik. Jadi, amat penting untuk pemain sentiasa bersedia sama ada dalam aspek fizikal mahupun mental.
“Kami akan bermain sepenuh hati untuk mencatatkan kemenangan, sekali gus mengutip tiga mata penuh, apatah lagi bermain di gelanggang sendiri,” katanya.
Ketua jurulatih Tampines, Jurgen Raab pula berkata pasukannya bersedia untuk memberi saingan sengit buat JDT walaupun mengakui kelebihan Harimau Selatan kerana bermain di laman sendiri.
“Saya tahu kemampuan dan kekuatan JDT, namun esok kami akan bermain bersungguh-sungguh dan beri saingan kepada mereka.
“Kami juga turun dengan misi untuk menang dalam perlawanan esok,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-tampines-janji-perlawanan-sengit-1.626959#ixzz5A4SwUXdP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment