ARKIB : 14/04/2009
Firman Allah yang maksud-Nya:
Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu
yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, dan jika Engkau tidak
mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya jadilah aku daripada
orang-orang yang rugi. (Hud: 47)
Keterangan ayat
Setelah mendapati anaknya
bertegas untuk mencari tempat perlindungan daripada banjir besar itu, maka Nabi
Nuh memohon belas kasihan Allah agar merahmati anaknya.
Baginda mengatakan dalam ayat
sebelumnya iaitu ayat 45 yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya anakku itu
daripada keluargaku.
Menurut Abu Sheikh, Allah SWT
menafikannya dan menolak doa Nabi Nuh. Allah mengatakan dia termasuk dalam
kalangan hamba-Nya yang rugi kerana tidak menuruti Nabi Nuh dalam dakwahnya.
Nabi Nuh memohon keselamatannya
selepas banjir reda kerana adatnya mungkin ada yang selamat dalam banjir dengan
rahmat Allah.
Terdapat setengah riwayat
menunjukkan bahawa anak Nabi Nuh itu sebenarnya adalah seorang munafik iaitu
berpura-pura Islam di hadapan bapanya.
Lantaran itu, Nabi Nuh memohon
keselamatannya sehingga Allah SWT mewahyukan tentang hakikat kekufurannya itu.
(Tafsir Ruhil Maani, tafsir ayat 47 surah Hud).
Menurut Fudhail Iyadh, Nabi Nuh
menangisi kesilapannya yang memohon perkara yang tidak diketahui rahsia
ketetapan Allah di sebaliknya itu selama 40 tahun.
Al-Imam Ahmad pula menyatakan,
baginda menangis selama 300 tahun sehingga menjadi kesan laluan air mata di
mukanya seperti laluan anak air. (Tafsir Ruhil Maani, tafsir ayat 47 surah
Hud).
Khasiat dan kaifiat beramal
Marilah kita jadikan pengajaran
daripada kisah ini untuk meminta keampunan Allah atas permintaan kita
kepada-Nya dalam banyak perkara yang kita tidak mengetahui rahsia di
sebaliknya.
Jadikanlah doa ini amalan harian
sebagai satu usaha bertaubat kepada Allah SWT.
-Petikan daripada buku 101 Doa
Para Nabi & Rasul dalam Al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan
Telaga Biru Sdn. Bhd.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5A9n6KwXn
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment