Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
MAGIS Datuk K Rajagobal terus
menjadi buat PKNS FC apabila skuad itu mudah melangkah ke suku akhir selepas
menumpaskan Kelantan 4-1 pada saingan 16 pasukan terbaik Piala FA di Stadium
Shah Alam, di sini, malam tadi.
Rajagobal yang mula membimbing
skuad Semut Merah secara rasmi pada awal musim ini dilihat berjaya menyuntik
elemen berbeza dalam permainan pasukan itu berbanding musim lalu yang
menyaksikan mereka terkandas seawal pusingan kedua kepada Melaka United 1-0.
Ternyata asakan bertalu-talu
pasukan tuan rumah sejak wisel permulaan ditiupkan berjaya membuahkan hasil
apabila PKNS FC dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-16 selepas tonggak
tengah Kelantan, S Veenod tertampan bola di dalam kotak penalti.
Pemain import dari Colombia,
Romel Oswaldo Morales yang diamanahkan mengambil tendangan itu mudah menewaskan
penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat buat meletakkan pasukannya
mendahului 1-0.
Skuad kendalikan Yusri Che Lah
yang tewas 1-0 kepada lawan sama dalam saingan Liga Super pada minggu lalu berpeluang
merapatkan kedudukan menerusi rembatan deras Mohamad Ghaddar minit ke-35 namun
ianya sekadar menggegar tiang gol.
Sebaliknya, PKNS FC berjaya
menambah gol kedua menerusi Mahali Jasuli pada minit ke-43 selepas memanfaatkan
tampanan lemah Khairul Fahmi yang singgah ke kakinya untuk menolak masuk ke
gawang pelawat.
Babak kedua perlawanan
menyaksikan Kelantan cuba memperkemaskan aksi namun kerapuhan benteng mereka
berjaya digunakan sebaiknya oleh jentera serangan PKNS FC apabila menambah dua
lagi gol menerusi Safee Sali (minit 61) dan Rafael Ramazotti Quadros (minit
68).
Ketika saingan menuju ke
penghujung, Kelantan diberikan sepakan penalti dan Mohamad Ghaddar yang
mengambil mudah menghadiahkan gol sagu hati buat menamatkan perlawanan dengan
4-1.
sumberArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 18 Mac 2018 @ 12:24 AM
No comments:
Post a Comment