ARKIB : 08/05/2009
ABU Lahab ialah bapa saudara
kepada Nabi Muhammad, adik-beradik bapa baginda, iaitu Abdullah. Nama Abu Lahab
yang sebenar ialah Abdul Uzza.
Uzza adalah nama sebuah berhala
yang disembah oleh orang-orang kafir Quraisy. Ia merupakan berhala yang masyhur
di Mekah.
Nama isteri Abu Lahab ialah Arwa.
Dia digelar Ummu Jamil yang bermaksud ibu daripada kecantikan. Isteri Abu Lahab
juga membenci Rasulullah. Dia selalu mencerca dan menghina Rasulullah. Dia juga
pernah meletakkan duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah.
Hubungan Rasulullah dengan Abu
Lahab, sebelum kedatangan Islam amat baik seperti bapa saudaranya yang lain.
Ketika Rasulullah lahir, Abu Lahab gembira kerana anak saudaranya itu bagaikan
pengganti adiknya, Abdullah yang telah meninggal dunia.
Pada suatu hari, selepas
Rasulullah diangkat menjadi Nabi, baginda naik ke Bukit Safa. Baginda menyeru
semua kaum kerabatnya berkumpul. Maka berkumpullah mereka semua. Jika ada yang
tidak dapat datang, mereka akan menghantarkan wakil. Semua orang mendiamkan
diri untuk mendengar perkara penting yang bakal dikatakan Rasulullah.
"Adakah kalian akan percaya
jika aku katakan bahawa musuh akan datang menyerang kita pada esok hari?"
tanya Rasulullah pada mereka.
"Pasti kami percaya. Engkau
tidak pernah sekalipun bercakap bohong," jawab mereka.
Lalu Rasulullah bersabda,
"Aku memberi peringatan kepada kamu semua. Seksaan Allah yang dahsyat akan
datang".
Orang ramai terdiam memikirkan
kata-kata Rasulullah itu. Sepanjang yang dikenali mereka, Rasulullah tidak
pernah sekalipun berkata sesuatu yang sia-sia, apatah lagi untuk bercakap
bohong.
Tiba-tiba Abu Lahab menjawab,
"Celaka engkau! Apakah hanya untuk itu engkau kumpulkan kami?"
Maka bermula dari hari itulah Abu
Lahab menjadi musuh Rasulullah yang paling utama. Dia tanpa segan silu
melemparkan fitnah kepada Rasulullah. Apabila baginda keluar berdakwah, dia
akan mengekori dan mengatakan Rasulullah berdusta. Rasulullah juga dituduh sebagai
seorang yang gila.
Lantaran itu, Allah menurunkan
ayat al-Quran di atas yang mengatakan dia akan dimasukkan ke dalam api neraka
di akhirat kelak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5AODuWKRQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment