Ad

Friday, 16 March 2018

Pemain remaja uji kelab Jepun


Piala Sanix di Fukuoka medan pilih pemain B-18 ke kejohanan AFF, AFC B-19
Muhammad Riduan 
Mohd. Hanafiah
13 Mac 2018 3:00 AM
 PARA pemain remaja bakal menggalas cabaran negara pada Kejohanan
PARA pemain remaja bakal menggalas cabaran negara pada Kejohanan Piala Sanix 2018 di Fukuoka, Jepun bermula Khamis ini hingga 18 Mac.

PEMAIN skuad remaja negara bakal menjadikan kempen Kejohanan Piala Sanix 2018 di Fukuoka, Jepun sebagai medan terbaik untuk disenaraikan ke saingan Kejohanan Bola Sepak ASEAN (AFF) bawah 18 tahun (B-18) negara dan Kejohanan Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia tahun ini.

Ketua jurulatih B-18 negara, Bojan Hodak menuntut mereka mempamerkan aksi terbaik memandangkan ketika ini skuad negara dalam persiapan untuk membina sebuah pasukan yang lebih matang.


Seramai 27 pemain B-18 telah dipilih sejak pemilihan dilakukan awal Februari lalu untuk menyertai kejohanan bola sepak remaja yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis ini hingga 18 Mac.

Selain Malaysia, Rusia, Korea Selatan dan Taiwan turut menghantar pasukan remaja mereka, manakala Jepun menghantar pasukan kelab terbaik ke saingan tersebut.

“Matlamat utama kami menyertai kejohanan di pentas antarabangsa ini untuk memberi peluang kepada pemain remaja negara menerima pendedahan yang lebih meluas. Sudah pasti saya mahu melihat kemampuan pasukan ini pada masa akan datang.

“Selain itu, saya juga berharap mampu mencari beberapa pemain yang berpotensi untuk diserap­kan ke Kejohanan AFF B-18 dan AFC B-19 yang berlangsung pada Julai dan Oktober nanti,” kata­nya yang berlepas ke Jepun semalam.

Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Australia itu turut mengakui beliau tidak meletakkan sebarang sasaran yang terlalu tinggi, sebaliknya mahu para pemain meraih pe­ngalaman terbaik.

“Ini kali pertama mereka disatukan menjadi sebuah pasukan dan saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana mereka akan berdepan pasukan kelab profesional dari Jepun.

“Saya hanya mahu mereka memberi tentangan yang hebat sekurang-kurang lima perlawanan. Perlawanan ini penting untuk membina sebuah pasukan yang sempurna pada masa akan datang,” ujarnya.

Malaysia akan menentang tiga kelab tempatan iaitu Tokio FC, Maebashi Lukei dan Ohzu dalam saingan peringkat kumpulan, sebelum dua pasukan terbaik mara ke peringkat seterusnya.
SUMBER-KOSMO ONLINE 13 Mac 2018 3:00 AM


No comments:

Post a Comment