Devinder Singh
devinder@nstp.com.my
JURULATIH skuad kebangsaan, Tan
Cheng Hoe yakin barisan pemain kurang berpengalaman Harimau Malaya mampu
merobek gawang Bhutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil,
Ahad ini.
Bhutan yang dibelasah Maldives
7-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia Selasa lalu, dijangka menampilkan corak
permainan bertahan pada pertembungan sulung antara kedua-dua pasukan itu.
Sekiranya berlaku, Cheng Hoe
perlu mencari jalan untuk membolosi gawang Bhutan, berbeza dengan situasi
dihadapi ketika tewas 2-1 kepada Lubnan dalam aksi terakhir kelayakan Piala
Asia di Beirut atau ketika seri 2-2 menentang Mongolia dalam aksi persahabatan.
Jentera serangan negara diketuai
Zaquan Adha Abd Radzak yang sudah meledak enam gol antarabangsa.
“Sandaran menjaringkan gol tidak boleh
diletakkan kepada penyerang semata-mata, barisan tengah juga perlu mencari
peluang,” kata Cheng Hoe yang dijangka akan melakukan beberapa perubahan
selepas perlawanan dengan Lubnan.
“Tidak cukup dengan hanya
menguasai permainan kerana kami perlu menang. Kami tahu Bhutan akan bertahan
habis-habisan, jadi kami perlu sabar apabila menyerang.
“Dalam bola sepak moden kita
tidak boleh terlalu ghairah menyerang kerana kita mungkin terperangkap dengan
serangan balas. Ini yang kita pelajari ketika menentang Mongolia.”
Penyerang PKNS, Jafri Firdaus
Chew dijangka diberikan penampilan pertama di peringkat senior untuk memburu
jaringan manakala Syazwan Andik Ishak, Syahmi Safari dan Syawal Nordin turut
menjadi taruhan Cheng Hoe.
Malaysia menampilkan persembahan
mengejutkan ketika bertemu Lubnan walaupun tidak diperkuat 12 pemain bintang
dari Johor Darul Ta’zim, dan hampir mencatat keputusan seri sebelum dikecewakan
dengan gol pada masa kecederaan.
Cheng Hoe berharap anak buahnya
dapat mengekalkan rentak permainan serupa dalam usaha menamatkan kemarau
kemenangan 12 perlawanan sejak November 2016.
“Kita dapat lihat pasukan lebih
harmoni dan mula serasi walaupun baru dikumpulkan. Saya harap dapat melihat
rentak sama ketika menentang Lubnan ditunjukkan. Tetapi kita perlu memperbaiki
kawalan bola dan menjaringkan gol,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 30 Mac 2018 @ 7:07 PM
No comments:
Post a Comment