ARKIB : 15/04/2009
ASIAH binti Mazahim merupakan
seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam
pemikirannya. Oleh kerana dia memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingan,
dia dipaksa berkahwin dengan Firaun, raja Mesir yang berkuasa pada ketika itu.
Pada suatu hari ketika Asiah
sedang duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak
kayu terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.
"Ambil kotak itu dan bawa
kepada beta," arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di
tepinya.
Dayang itu berlari pantas ke arah
kotak yang sedang terapung-apung di tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu
itu dari permukaan sungai lalu dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk
mengetahui isi kandungan kotak kayu itu.
"Comelnya bayi lelaki dalam
kotak kayu ini!," jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.
Pada ketika itu, Firaun
memerintahkan masyarakatnya membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia
bermimpi bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan
pemerintahan Firaun.
Apabila berita penemuan bayi
lelaki itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi
lelaki itu.
"Pengawal! Bunuh bayi ini
sekarang..." Perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar
Asiah.
"Bukankah kita tidak
mempunyai anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya
merayu supaya bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya.
' Dia akan memberikan manfaat
kepada kita berdua apabila dewasa nanti," Asiah menghalang niat jahat
Firaun dengan kata-kata bijaksananya.
"Baiklah. Saya tidak akan
bunuh bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu," Firaun akur dengan
permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.
Asiah memberi nama Musa kepada
bayi tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.
Apabila nabi Musa mula berdakwah
menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya
tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.
Pada suatu hari, Asiah duduk
menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang
digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.
Asiah yang terkejut dengan
kejadian itu terus berkata, "Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan
izinnya."
"Dengan nama Allah,"
ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya dengan perasaan
hairan.
"Ibu, adakah tuhan lain
selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh Musa? Mengapa ibu
sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa sewaktu kecil
apabila dia akan dibunuh oleh ayah," anaknya bertanya pelbagai soalan kepada
Asiah dan menanti jawapannya.
Manusia biasa
"Firaun, ayah kamu adalah
manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah,
tuhan semesta alam!" jawab Asiah tanpa perasaan takut dan gentar.
"Biar saya adukan perkara
ini kepada ayah!," balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan
pergi mengadu kepada Firaun.
Firaun yang mendengar aduan
anaknya berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah
mengikut ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Negara Mesir
mengikuti ajaran Allah.
Orang yang mengingkari larangan
itu akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya
sudah mengikut ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya
keluar dari agama Allah.
"Dengarlah nasihat saya,
wahai Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.
"Keluarlah dari agama yang
dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai
hadiah," Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata
manisnya.
"Saya tidak akan sekali-kali
keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai
oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.
"Jika saya tetap dalam agama
ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan
istana kamu," tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan
Firaun yang menyala dengan api kemarahan.
Usaha Firaun memujuk isterinya
menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih
sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara
lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi
Musa.
Namun, semua ikhtiarnya gagal dan
tidak menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu
kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan
menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.
"Pengawal, tangkap Asiah dan
bawa dia berjumpa beta sekarang!," perintah Firaun dengan nada keras.
"Oleh kerana kamu masih
berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas
kamu," kata Firaun lagi.
"Pengawal, bawa perempuan
ini ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu
ke bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.
"Biarkan bahang matahari
yang panas, dan sejuk malam menyeksanya," Firaun meminta para pengawalnya
menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.
"Allah! Allah! Allah!,"
mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu
dijalankan.
"Ya Allah! Saya mohon supaya
dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga,"
doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.
Akhirnya Asiah dapat melihat
rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat
gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.
Selepas beberapa lama tempoh
penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir
dengan kalimat Allah di mulutnya.
Begitulah kisah wanita yang
berhati waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa
sehingga mati tanpa belas kasihan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5A9spOnaP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment