SUKAN»Bola
Ahad, 18 March 2018 | 12:12am
PENYERANG muda JDT , Safawi Rasid
(dua dari kiri) meraikan gol jaringannya ketika menentang UiTM FC pada aksi
Piala FA di Stadium UiTM, sebentar tadi. - FOTO BERNAMA
Hatrik Safawi sekat hajat besar
UiTM
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KONGSI ARTIKEL
SHAH ALAM: Penyerang muda Johor
Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid
membuktikan dia layak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jorge Pereyra Diaz
selepas melakar hatrik untuk membantu pasukannya menang tipis 3-2 ke atas UiTM
FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.
Ketika tumpuan lebih terarah
kepada Gonzalo Cabrera, penggempur berusia 21 tahun itu memastikan malam ini
miliknya apabila meledak hatrik untuk menghalang kebangkitan UiTM FC.
Kemenangan itu membolehkan skuad
Harimau Selatan mengesahkan tempat ke suku akhir dan meneruskan perjuangan
mereka untuk memburu Piala FA selepas kali terakhir memenanginya pada tahun
2016.
Walaupun tewas, anak buah Wan
Mustaffa Wan Ismail itu seharusnya berbangga apabila menunjukkan peningkatan
pada musim ini terutamanya selepas mengambil kira mereka dibelasah 5-0 dan 4-0
dalam dua edisi Piala FA sebelum ini.
Pada aksi terbabit, tiada percubaan
berbahaya dapat dihasilkan dalam tempoh 10 minit pertama sebelum gerakan
menarik menerusi hantaran Natxo Insa disudahkan menerusi satu rembatan kencang
oleh Safawi untuk gol pembukaan JDT pada minit ke-11.
JDT terus mengasak dan seharusnya
menambah lagi gol tetapi ketangkasan Mohamad Soffuan menafikan percubaan
kencang Natxo pada minit ke-23 sebelum mengecewakan Safiq Rahim pada minit
ke-31.
Pemburuan gol kedua JDT berhasil
apabila sepakan percuma Safawi terbias mengenai pertahanan tunah rumah sekali
gus menerjah jaring ketika separuh masa pertama berbaki empat minit.
Selang seminit, penjaga gol JDT
Farizal Marlias menafikan percuban satu lawan satu Dao Bakary, namun akhirnya
tewas di penghujung babak pertama menerusi Lucas Ramon yang menggelecek bekas
penjaga gol kebangsaan itu sebelum meledak ke gawang kosong untuk mengurangkan
defisit gol.
Babak kedua bersambung, UiTM FC
memperkemas corak permainan dan berjaya menekan serta mematahkan serangan JDT
sehingga menyebabkan pelawat bergelut untuk mencipta peluang bagi memburu gol
ketiga.
JDT akhirnya mampu menarik nafas
lega apabila berjaya meledak gol ketiga selepas Safawi melengkapkan hatriknya
menerusi voli hasil hantaran Azrif Nasrulhaq empat minit berselang.
Namun jaringan ketiga JDT belum
mampu merentap semangat UiTM FC dan mereka sekali lagi berjaya mengurangkan
defisit menerusi penyudah kemas Faiz Mohd Bandong yang mudah menewaskan Farizal
pada minit ke-89.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
18 March 2018 | 12:12am
No comments:
Post a Comment