Ad

Saturday 31 March 2018

Peluang tamat badi!


Peluang tamat badi!
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
MALAYSIA tidak mempunyai alasan lagi untuk gagal menamatkan badi tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan apabila berdepan pasukan separuh profesional, Bhutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Apa tidaknya, skuad kendalian Trevor James Morgan dianggap lawan yang mudah dengan mereka hanya menghuni kedudukan ke-188 dunia - 10 anak tangga di belakang Harimau Malaya.

Malah, Bhutan turut dianggap sebagai pasukan belasahan selepas pernah merekodkan kekalahan besar termasuk tewas 0-10 kepada Palestin dan terbaru dimalukan oleh Maldives 7-0 pada aksi kelayakan Piala Asia, Selasa lalu.

Bagi penjaga gol berpengalaman Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat, kemenangan pada perlawanan esok amat penting untuk anak buah Tan Cheng Hoe bangkit daripada rentetan prestasi buruk sebelum ini.

“Seperti yang jurulatih katakan, kami sangat perlukan kemenangan. Jadi kami perlu fokus sepenuhnya. Saya harap perlawanan esok akan menjadi titik permulaan untuk skuad kebangsaan meraih keputusan positif selepas ini.

“Apapun, kami perlu perbaiki segala kelemahan ketika berdepan Lubnan (pada Selasa lalu). Stadium Nasional Bukit Jalil sememangnya mempunyai kenangan yang baik buat skuad kebangsaan termasuk ketika menjuarai Piala AFF Suzuki 2010,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Skuad Harimau Malaya melepaskan peluang keemasan untuk menamatkan badi tanpa kemenangan apabila diikat 2-2 oleh pasukan tangga ke-189 dunia, Mongolia pada aksi persahabatan di gelanggang sama, pada 22 Mac lalu.

Nasib terus tidak menyebelahi anak buah Cheng Hoe apabila tewas 1-2 kepada Lubnan hasil jaringan saat akhir Hilal El-Helwe, biarpun persembahan baik dipamerkan mereka.

Malah, jika persembahan sama dipamerkan barisan pemain Harimau Malaya berdepan Bhutan esok, tidak mustahil misi menamatkan kemarau kemenangan dapat direalisasikan selepas kali terakhir merasai nikmat kemenangan ketika menumpaskan Kemboja 3-2 di saingan Piala AFF Suzuki pada 20 November lalu.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 9:51 PM

No comments:

Post a Comment