Berfungsi
menyedarkan manusia tentang kehebatan Allah
ABDULLAH
BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ | 15 Mac 2016 4:00 PM
JIKA makhluk
sehebat matahari sanggup tunduk kepada Allah tanpa
SUDAH hampir
seminggu sang matahari mengagumkan seluruh penduduk bumi dengan fenomena
gerhana yang berlaku pada Rabu lalu (9 Mac 2016). Kejadian itu sebenarnya mampu
berfungsi menyedarkan manusia tentang kehebatan kuasa Allah. Sang matahari
tidak gerhana kerana kelahiran atau kematian seseorang. Kepercayaan ini pernah
berlaku pada zaman Rasulullah SAW selepas kewafatan bayi baginda yang bernama
Ibrahim. Tanpa tunggu, baginda terus memancung fahaman karut itu:
“Al-Mughirah
bin Syu’bah r.a. menceritakan telah berlaku gerhana matahari pada hari
kewafatan bayi Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim. Orang ramai berbicara
mengatakan matahari sedang gerhana kerana kewafatan Ibrahim. (Menafikan kepercayaan
ini) Rasulullah SAW lantas bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan tidak
mengalami gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. (Tetapi
kedua-duanya adalah tanda kebesaran Allah). Apabila kamu semua melihatnya
(mengalami gerhana) maka dirikanlah solat,” - Sahih Bukhari.
Inilah
kehebatan Rasulullah SAW yang meletakkan segala perkara di bawah lembayung
Tauhid. Atas semangat ini, Islam mengiktiraf fenomena alam sebagai sains yang
dikawal selia oleh Allah yang berada di sebalik semua keajaiban alam. Semakin
banyak mengkaji alam, semakin dalam keimanan dan keyakinan seorang Muslim
kepada Allah. Prinsip inilah yang wajib menjadi “roh” tamadun Islam.
MATAHARI
BERSUJUD?
Dalam sebuah
hadis, Rasulullah SAW menyatakan setiap hari selepas terbenam menjelang tibanya
malam, sang matahari akan bersujud kepada Allah:
“Pada suatu
hari Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat (ketika matahari mulai
terbenam): “Tahukah kamu semua, ke manakah matahari itu pergi?” Para sahabat
menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda menyambung: “Ia
beredar sampai ke perhentiannya di bawah ‘Arasy, lalu ia sujud. Ia berterusan
sujud sampai datang perintah: Bangkitlah dan kembali ke tempatmu semula! Ia pun
pergi dan terbit dari tempat ia terbit (di awal pagi). Kemudian ia beredar lagi
hingga sampai pula di tempatnya di bawah ‘Arasy, lalu ia sujud sampai datang
pula perintah: Bangkitlah dan kembali ke tempatmu semula. Ia pun pergi dan
terbit dari tempat ia terbit (di awal pagi). Kemudian ia beredar lagi, tidak pernah
mungkir sedikit pun hingga ia sampai pula kembali di tempatnya di bawah ‘Arasy.
Tiba-tiba ia mendapat perintah: Bangkitlah, dan muncullah di tempat engkau
biasa tenggelam. Maka terbitlah ia di Barat.” (setelah itu kiamat pun
berlaku),” - Sahih Muslim.
Matahari sujud
kepada Allah setiap malam? Apa yang nyata kepada kita, matahari tetap wujud
pada paksinya ketika malam menjelma. Sebelah bahagian bumi mengalami malam
kerana permukaannya tidak dijamah oleh cahaya matahari. Jika benar matahari
meninggalkan paksinya dan bersujud kepada Allah, pastinya keseluruhan bumi
menjadi gelap.
Hadis ini sukar
difahami, oleh itu kita perlu merujuk kepada huraian para ulama hadis bagi
memahaminya secara tepat. Maksud sujud matahari dalam hadis ini bukan sujud
hakiki seperti sujud manusia menyungkurkan dahinya ke lantai, tetapi merujuk
kepada kepatuhannya yang mutlak kepada sistem aturan Allah di alam ini (Fath
al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).
Kepatuhan
matahari dalam kiasan “sujud dan tasbih” kepada sistem alam diulang sebut dalam
banyak ayat, antaranya:
“Tidakkah
engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud
(patuh) kepada Allah dan (antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang,
gunung-ganang, pokok kayu, binatang, serta sebahagian besar daripada manusia?
Dan banyak pula (antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan
kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah
maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya
Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya,” (al-Hajj [22:18]).
Akhirnya, jika
anda kagum dengan matahari yang begitu banyak fungsinya kepada alam, sewajibnya
anda mesti mengagumi dan menyembah Penciptanya.
“Dan antara
tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah
kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya
hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptanya, kalau betullah kamu hanya
beribadat kepada Allah,” (Fussilat [41:37]).
Jika makhluk
sehebat matahari, langit, bumi, bulan, gunung dan sebagainya sanggup tunduk
kepada Allah tanpa ingkar, pastinya kita yang serba kerdil lagi hina ini lebih
patut merembas dahi kita ke lantai kepada Allah. Semoga cara ini dapat membantu
kita mengenal diri sebagai hamba dan mencapai kelazatan sujud dan tasbih kepada
Allah.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/apabila-matahari-bersujud-1.200809#sthash.Tbe8t4Ho.dpuf
No comments:
Post a Comment